KUALA LUMPUR, SANTU, 28 April, 2012:: Ego pembangkang yang selama ini mendabik dada bahawa mereka tidak perlu atau pernah 'memberikan wang' untuk menarik kehadiran penyokong dalam satu-satu aktiviti atau perhimpunan yang dianjurkan, memakan diri hari ini.
Bagi mereka, hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja yang perlu 'menyuap' duit atau menaja sesuatu bagi menarik kehadiran khalayak sedangkan realitinya pada perhimpunan yang disokong pembangkang di ibu negara hari ini menceritakan sebaliknya.
Tinjauan BERNAMA, di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan peserta perhimpunan itu yang kononnya untuk menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil mendapati sebahagian daripada mereka sebenarnya ditaja oleh pihak tertentu, begitu juga kerajaan negeri.
Perkara itu didedahkan oleh beberapa peserta daripada Kelantan yang mana kedatangan mereka ditaja sepenuhnya meliputi pengangkutan, penginapan dan keperluan lain seperti belanja makan.
Menurut Wan Ismail Wan Mad, 34, beliau tiba di Kuala Lumpur sejak tiga hari lepas dari Tumpat dengan menaiki bas yang ditaja Pas bahagian itu.
Katanya selain disediakan hotel, beliau dan peserta lain turut diberi "duit poket" sebanyak RM150 setiap seorang.
"Semasa perhimpunan tahun lalu (9 Julai 2011) saya turun berdemo guna duit sendiri, sekarang diberi duit poket serta disediakan bas dan hotel.
"Jadi lagi bersemangatlah kami turun ke mari (Dataran Merdeka)," katanya ketika ditemu bual Bernama di sini.
Seorang remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Azli, 25, berkata peluang untuk turun berhimpun dengan segala perbelanjaan, termasuk duit poket disediakan kerajaan Pas Kelantan, menjadi dorongan utama kepadanya untuk turut serta dalam perhimpunan itu.
"Kami turun dua bas dari Pasir Mas untuk demo kali ini, kami tinggal di hotel berdekatan bagi memudahkan perjalanan ke Dataran Merdeka," katanya.
Pasangan suami isteri berusia sekitar 50-an, dari Kedah pula berkata, mereka didatangkan dengan 20 bas dengan dikenakan bayaran serendah RM10 seorang, berbanding harga tambang biasa kira-kira RM100 pergi dan balik dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.
Beliau yang hadir bersama suaminya sejak semalam dan ditempatkan di sebuah hotel berdekatan Dataran Merdeka berkata tambang semurah itu memberi lebih dorongan untuk mereka turun ke ibu negara.
Sementara itu, Azizah, 23, dari Permatang Pauh pula berkata, beliau datang bersama dua saudara maranya bagi memberi sokongan kepada perhimpunan itu.
Katanya, mereka yang didatangkan dengan sebuah bas turut diberikan RM20 seorang sebagai wang belanja, didakwa diterima daripada seseorang bernama Mansor.
"Yang menghairankan saya ialah kenapa hanya sebuah bas sahaja dari Permatang Pauh," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment