My Add

Sunday 29 April 2012

‘Tiada komplot dengan ATM’

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

IPOH, SABTU, 28 April, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah berniat untuk berkomplot melakukan rampasan kuasa melalui ketenteraan kerana yakin rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri menegaskan kerajaan yang dipimpinnya komited untuk memastikan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini sejak sekian lama akan terus dipertahankan.

Katanya, Perdana Menteri menyatakan pendirian itu kepada beliau ketika ditanya mengenai dakwaan pembangkang kononnya ada komplot untuk merampas kuasa jika BN tewas dalam pilihan raya.

‘‘Saya sendiri bertanya kepada Perdana Menteri sama ada benar ada perjumpaan dengan pemimpin tentera untuk mereka ambil alih kerajaan jika berlaku sesuatu tidak baik di negara kita. Beliau kata tidak pernah, malah tidak langsung terlintas sekalipun.

‘‘Perdana Menteri menyatakan tiada sebab untuk melakukan perkara itu kerana beliau mahu memastikan kita tetap menjadi sebuah negara demokratik.

‘‘Dengan segala kerja-kerja beliau dan transformasi besar-besaran yang dilakukan, beliau yakin rakyat akan terus bersama-sama kerajaan untuk mentadbir negara," katanya selepas Majlis Hari Keluarga Amanah Ikhtiar Malaysia di Pekan Selekoh, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kononnya Najib ada mengadakan pertemuan dengan para pemimpin tentera dan meminta mereka melakukan sesuatu jika BN kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu dalam satu ceramah Ahad lalu, dikecam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyifatkannya sebagai tuduhan yang berniat jahat dan menjejaskan imej pasukan itu.

Polis semalam mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Mohammad Nizar itu selepas menerima enam laporan polis sejak kelmarin.

Ahmad Zahid berkata, polis perlu mendedahkan hasil siasatan berhubung kenyataan Mohammad Nizar itu bagi membolehkan rakyat menilai sama ada Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak seseorang yang berkata benar atau sebaliknya.

Sambil menggesa polis menyegerakan siasatan tersebut, beliau menegaskan, Mohammad Nizar tidak perlu berdolak-dalik dan wajar meminta maaf sekiranya melakukan kesilapan.

‘‘Saya juga ingin nasihatkan Mohammad Nizar, beliau mewakili profesion sebagai wakil rakyat, jangan rendahkan martabat pemikiran kita sama dengan orang yang tidak pernah berpelajaran tinggi.

‘‘Walaupun kita berbeza pandangan politik, kita kena letak integriti di tahap paling tinggi. Saya tahu kawasan beliau berdekatan dengan pangkalan Tentera Diraja Malaysia (TLDM), tapi jangan heret institusi yang dihormati rakyat ini dalam kancah politik," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment