KUCHING, SABTU, 28 April, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, landskap internet Sarawak bakal melalui proses transformasi apabila pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negeri ini khususnya di kawasan luar bandar ditingkatkan menjelang hujung tahun ini.
Menurut Perdana Menteri, dengan usaha bersepadu kerajaan Persekutuan dan negeri, Sarawak yang selama ini digelar titik hitam komunikasi tidak lagi boleh dianggap begitu apabila lebih ramai pengguna internet baru dijangka muncul.
Katanya, pada masa ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mewujudkan sebanyak 34 Pusat Jalur Lebar Komuniti di 27 Parlimen di negeri ini.
"Mereka juga sedang membangunkan sebanyak 600 sambungan Wi-Fi di kawasan luar bandar bagi memastikan kadar penembusan internet di Sarawak meningkat sehingga lebih 50 peratus menjelang hujung tahun ini.
"Sekiranya matlamat ini dicapai, ia akan membantu kita mencapai 75 peratus kadar penembusan internet di seluruh negara dengan lebih 5 juta pengguna dalam talian," katanya ketika merasmikan Konvensyen Media Sosial Sarawak di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Presiden Persatuan Media Sosial Sarawak, Wan Abdillah Eddruce Wan Abdul Rahman.
Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, dua minggu lagi beliau dijadual bertemu dengan beberapa rakan-rakan online termasuk pengikut Twitternya yang ke 500,000 seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Menurut Najib, pertemuan tersebut amat penting kerana beliau berpeluang bertemu dan menyelami perasaan rakyat secara terus serta pada masa sama mampu memperbaiki hubungan antara kerajaan dan rakyat.
"Nasihat saya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Media Sosial Sarawak, anda perlu bekerjasama dengan wakil rakyat, agensi-agensi, para pendidik dan pemimpin masyarakat bagi memastikan media sosial mampu menjadi alat komunikasi berguna kepada kerajaan.
"Kita juga perlu memahami kehendak generasi muda yang lebih gemar mendapatkan sumber maklumat daripada internet serta menyesuaikan diri dengan perubahan dalam cara berkomunikasi pada hari ini untuk terus kekal relevan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment