*NAJIB beramah mesra bersama ribuan penduduk tempatan ketika melakukan tinjauan mesra di Pasar Tani Matang, Kuching, semalam. - MINGGUAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM dan ZAAIN ZIN
KUCHING, SABTU, 28 April, 2012: Kedegilan peserta perhimpunan Bersih 3.0 untuk terus berdemonstrasi di Dataran Merdeka walaupun tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, hanya menunjukkan niat sebenar mereka yang mahu memburukkan imej negara dan kerajaan di mata dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana mereka mahu berkonfrontasi dengan polis dan rakaman itu akan dimuat naik ke laman perkongsian video YouTube, kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak ganas, sekali gus membangkitkan kemarahan masyarakat.
"Kita tahu apa yang mereka fikirkan dan sebab itulah apabila kita tawarkan Stadium Merdeka, mereka enggan menerimanya sedangkan pada perhimpunan terdahulu mereka mahukan stadium itu.
"Mereka tahu kepentingan Dataran Merdeka dan sedar kita akan mempertahankannya dan mereka mahu berkonfrantasi dengan polis supaya rakyat marah kepada kerajaan.
"Itulah niat mereka kerana akhirnya ia berkaitan dengan politik dan mengambil alih Putrajaya, bukannya berkaitan dengan pilihan raya yang adil dan bebas," katanya sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Media Sosial Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.
Terdahulu, sewaktu merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati di pekarangan Wisma Bapa Malaysia di sini, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang rakyat untuk menyuarakan rasa tidak puas hati melalui demonstrasi.
Namun, katanya, ia mestilah di tempat yang dibenarkan dan dalam keadaan yang aman, tidak menyusahkan rakyat serta tidak mencemarkan imej negara.
"Dataran Merdeka simbol kemerdekaan negara sebab itu kita tidak benarkan dan kalau mereka nak tunjuk perasaan, tempat tidaklah begitu penting asalkan mereka boleh berhimpun.
"Kita telah beri Stadium Merdeka dan saya sudah beritahu polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menjamin keselamatan mereka, malah jika niat mereka betul kita sanggup sediakan air mineral dan makanan," katanya.
Beliau berkata, adalah tidak adil untuk kerajaan membenarkan perhimpunan yang akhirnya boleh menjejaskan imej negara yang menjadi milik semua rakyat.
Katanya, kejayaan negara sehingga imejnya dipandang tinggi di mata dunia adalah hasil jerih payah serta titik peluh rakyat sejak generasi terdahulu.
"Kita mesti mempertahankan kejayaan selama ini di samping membenarkan hak asasi mereka untuk berhimpun tetapi berhimpunlah dalam suasana aman," tegasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan pakatan pembangkang supaya tidak menipu rakyat dengan menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya proses pilihan raya di negara ini kotor dan tidak adil.
Katanya, tuduhan sebegitu tidak didengari apabila mereka menang di lima buah negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
"Saya kata kalau tidak bersih dan adil, tunjukkan buktinya kerana kita tidak mahu dipilih atas penipuan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment