My Add

Saturday, 28 April 2012

Pembangkang tidak dihalang berhimpun

Asalkan tak gugat keamanan negara: Najib
Najib Razak bertanya harga ikan kepada peniaga di Pasar Tani Matang ketika lawatannya sempena program Jelajah Janji Ditepati (JJD) yang berlangsung di pekarangan Wisma Bapa Malaysia (WBM), Kuching, hari ini. - Foto Azahan Rosli

KUCHING, SABTU, 28 April, 2012: Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak termasuk pembangkang untuk mengadakan perhimpunan asalkan ia diadakan dalam keadaan aman dan di tempat yang sesuai. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, beliau tidak mahu sebarang perhimpunan dibuat sehingga menimbulkan keadaan huru-hara di negara ini.

"Kita beritahu kepada mereka, kalau nak berhimpun, kita bagi Stadium Bukit Jalil, kita sanggup beri Stadium Merdeka pun (sebagai lokasi perhimpunan). Tapi
jangan menyusahkan rakyat dan mencemar imej negara kita," katanya semasa berucap merasmikan "Program Jelajah Janji Ditepati" di sini. 

Beliau merujuk kepada perhimpunan yang didalangi pihak pembangkang sebagai 
cubaan mereka untuk menunjuk perasaan berikutan dakwaan kononnya pilihan 
raya di negara ini tidak bersih dan tidak adil.

Katanya, pembangkang tidak dibenarkan membuat perhimpunan itu di Dataran 
Merdeka kerana ia merupakan simbol kemerdekaan negara dan tidak sesuai digunakan untuk berdemonstrasi. 

Najib berkata, pembangkang tidak harus terus mencalar imej negara melalui 
tindakan liar mereka untuk berdemonstrasi kerana kejayaan Malaysia selama ini 
adalah hasil jerih payah rakyat. 

"Kita membina negara ini. Kita berkorban membawa negara Malaysia 
kepada keadaan hari ini. Dan kita mesti pertahankannya di samping kita 
membenarkan hak asasi mereka untuk berhimpun," katanya. 

Beliau turut mempersoal tindakan pembangkang yang mengecam Suruhanjaya 
Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak adil sedangkan sistem pilihan raya yang ada 
sekarang telah membolehkan mereka menang di lima negeri dan beberapa pilihan 
raya kecil sebelum ini. 

"Bila mereka menang lima buah negeri dulu tak menyoal SPR. Bila mereka 
menang di (pilihan raya kecil) Sibu, mereka tak menyalahkan SPR. Tapi tiba-tiba 
sekarang ini SPR pula dikecam. Seolah-olah pilihan raya di Malaysia ini kotor, 
tak adil. Kalau tak bersih, tak adil tunjuk buktinya," katanya. 

Katanya, kemenangan yang dicapai Barisan Nasional (BN) selama ini bukanlah 
melalui penipuan tetapi diperoleh selepas rakyat yakin dengan kebolehan mereka 
untuk memimpin negara. 

"Kita tak mahu dipilih atas penipuan. Kita adalah kerajaan yang dipilih atas 
kehendak rakyat. Majoriti rakyat pilih kita kerana mereka tahu kerajaan kita BN 
lebih baik daripada mereka. Sebab itu mereka memilih kita," katanya. 

Katanya, kerajaan BN menetapkan agenda untuk menjadikan Malaysia 
sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dengan mendahulukan rakyat, di samping memupuk perpaduan dengan berpegang kepada prinsip 1Malaysia. 

"Kita ada agenda yang jelas untuk negara kita. Mereka (pembangkang) tidak 
ada agenda. Mereka cuma ada tindakan yang destruktif tetapi kita ada tindakan 
yang kreatif dan konstruktif," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment