My Add

Sunday, 29 July 2012

3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan

SEREMBAN, AHAD, 29 Julau, 2012: Tiga remaja ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri selepas mereka bertindak cuba melanggar seorang anggota JPJ yang mengadakan sekatan di Jalan Datuk Muda Linggi, di sini, malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah, berkata remaja terbabit yang masing-masing berusia 16, 18, dan 19 tahun menaiki dua motosikal jenis Honda EX5 dipercayai bertindak demikian untuk melarikan diri berikutan kedua-dua motosikal yang dinaiki mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Bagaimanapun mereka gagal melarikan diri dan ditahan anggota kita yang bertindak cekap.

"Ketiga-tiga remaja itu akan diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam manakala anggota JPJ berusia 30-an yang cuba dilanggar remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Katanya, dalam sekatan yang diadakan sempena Operasi Praperayaan yang bermula jam 8.30 malam itu, 201 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu 49 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal, 32 kepada pemandu kereta dan dua saman terhadap pemandu lori.

"Saman ini dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan merangkumi penggunaan lampu HID," katanya. 

Beliau berkata, 25 motosikal dan sembilan kereta disita selain 110 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1) dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan terutama membabitkan kesalahan pengubahsuian kenderaan dan tiada cermin sisi.

“Operasi itu yang diadakan serentak oleh JPJ seluruh negara adalah bagi mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal, terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini.

"Sekatan jalan dilakukan kerana kita mahu pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya memandangkan musim perayaan bakal tiba kelak," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment