G MANIMARAN
DATUK Seri Anwar Ibrahim yang berada di Sabah semalam menghantar beberapa mesej menerusi Twitter - berkenaan dengan perkembangan di negeri itu, yang kini berhadapan dengan 'ribut politik'. Sama ada ia besar, sederhana atau kecil masih menjadi tanda tanya.
Di Sabah, ribut politik seumpama itu bukan sesuatu yang baru. Pergolakan seolah-olah lebih kerap sejak Pilihan Raya Umum 2008.
Dua mesej lewat malam tadi, antara lain berbunyi, "Google lagu lama: janji membawa akibat - Salbiah (jangan suka berjanji, jikalau tidak ditepati; janji membawa akibat...) Apa guna berjanji - Saloma."
Sebeluam mesej itu, Anwar memetik kata-kata pemimpin yang baru keluar parti semalam, "YB Wilfred Bumburing di Tuaran: kita akan catat perubahan, sokong reformasi dan PR. Tsunami politik gelombang di Sabah."
Kelmarin, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan keputusan meletakkan jawatan parti, beberapa hari selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan.
Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lewat kelmarin, beliau akan memutuskan kedudukan Lajim hari ini. Berdasarkan kenyataan Lajim sendiri dan pengalaman-pengalaman lalu, Lajim sudah pasti tidak akan berada dalam Umno, BN dan jawatan kerajaan sama sekali.
Ia bukan lagi satu rahsia besar! Semua boleh mengandaikan apa yang akan dibuat oleh Najib.
Tetapi, oleh kerana PRU13 semakin dekat, kemungkinan Najib akan mengambil langkah yang boleh mengurangkan kesan dan implikasinya.
Semalam, Bumburing membuat keputusan untuk keluar dari BN dan merapatkan diri dengan Pakatan Rakyat.
Dalam entri terbaru blognya, Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN di Parlimen, Datuk Abdul Rahman Dahlan menulis bahawa "walaupun BN Sabah merasa sedih dan kesal dengan berita ini tetapi secara jujur dan ikhlas, respons yang saya dapati dari kalanga ahli-ahli BN ketika ini lebih kepada menghembuskan nafas kelegaan."
Ahli Parlimen Kota Belud ini, bahagian yang rapat dengan Tuaran, diwakili Bumburing, Abdul Rahman berkata, beliau lega kerana satu episod lambaian "bye-bye" politik yang terlalu lama dan yang penuh dengan babak-babak dramatik dan retorik yang memenatkan telah berakhir.
Satu mesej Twitter lewat kelmarin juga menyebut, "apa yang diramalkan pada September 2008, kini mula berlaku. Ia lewat tetapi sudah mula berlaku."
Menjawab perkara disebutkan oleh Abdul Rahman itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, "siapa yang tidak lega?"
"Apabila beberapa wakil rakyat PKR khususnya ahli-ahli Parlimen keluar, mereka pun kata lega kerana pihak yang menjadi duri dalam parti akhirnya memutuskan untuk keluar," kata Ibrahim merujuk kepada beberapa ahli Parlimennya yang keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat mesra BN.
"Berdasarkan pada perkembangan sejak beberapa hari lalu, BN sudah kehilangan empat ahli Parlimen dari Sabah (termasuk dua dari Sapp yang keluar akhir 2008).
"Di Sabah, soal keluar parti dan tukar kerajaan bukan perkara baru, ia pernah berlaku sehingga membawa kerajaan negeri pimpinan BN dan kemasukan Umno," kata pegawai kanan firma kajian pendapat awam ini. - SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment