My Add

Sunday 29 July 2012

Malaysia mulakan kempen Olimpik dengan suram

LONDON, AHAD, 29 Julai, 2012: Malaysia memulakan kempen Sukan Olimpik 2012 London dengan agak suram apabila dua pelumba basikal gagal menamatkan perlumbaan, pemanah trio gagal mencari sasaran manakala penembak tunggal wanita tidak mengumpul mata yang secukup untuk mara ke pusingan seterusnya. 

Banyak diharapkan daripada penembak Nur Suryani Mohd Taibi dalam acara 10m Air Rifle wanita tetapi mengecewakan apabila tersingkir dengan kedudukan ke-34 daripada 54 peserta di lapang sasar Royal Artillery Barracks di sini hari ini. 

Nur Suryani, yang memiliki catatan terbaik peribadi 397 mata, hanya mampu memperoleh 392 mata dalam acara yang dimenangi oleh penembak China, Yi Siling, dengan 502.9 mata. 

"Catatan terbaik saya setakat ini adalah 397 mata. Memandangkan keadaan saya sekarang, saya hanya sasar 390 mata," kata Nur Suryani yang mengambil bahagian pada temasya sukan itu walaupun hamil lapan bulan. 

Lebih mengecewakan dalam acara berbasikal lebuh raya apabila Muhamad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli gagal menamatkan acara 250km di sekitar kota London. 

Pasukan pemanah - Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin turut disingkirkan oleh trio Mexico dalam pusingan penyingkiran acara Recurve berpasukan lelaki. 

Trio Malaysia, yang diharap dalam menyumbang pingat, tunduk kepada pasukan Mexico 211-216, dalam acara yang dimenangi oleh Itali yang mengatasi Amerika Syarikat pada final yang begitu sengit. 

Trio Amerika Syarikat, yang mengejutkan pasukan pilihan utama Korea Selatan dalam suku akhir, tewas kepada Itali dengan hanya satu mata. 

Bagaimanapun, kontinjen Malaysia menerima sedikit kelegaan di Aena Wembley apabila beregu nombor lapan dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menundukkan beregu Jepun Naoki Kawamae/Shoji Sato 21-12, 21-14 pada perlawanan kumpulan. 

Pemain perseorangan wanita utama negara, Tee Jing Yi, bagaimapun, kalah kepada pemain berpengalaman dari Korea Selatan, Bae Yeon-Ju 21-16, 15-21, 12-21. 

Manakala beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying turut mengalami nasib malang apabila kalah kepada gandingan Taiwan Chen Hung Ling/Cheng Wen Hsing 12-21, 21-6, 15-21. 

Walaupun begitu, Tee, Chan/Goh masih mempunyai peluang melangkah ke pusingan seterusnya berikutan format baharu badminton yang memperkenalkan perlawanan peringkat kumpulan. 

Esok, atlet Malaysia yang akan beraksi di Arena Akuatik ialah gandingan penerjun wanita Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 3m papan anjal seirama. 

Atlet tunggal lawn pedang Yu Peang Kean perlu menampilkan persembahan terbaiknya apabila menentang atlet Mesir, Zeid Mannad dalam acara Sabre individu bagi menceriakan suasana kontinjen Malaysia di London. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment