TASEK GELUGOR, AHAD, 29 Julai, 2012: Program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah untuk membawa kemakmuran kepada semua lapisan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai pelan yang kukuh untuk membawa rakyat ke satu tahap hidup yang lebih berkualiti.
Katanya kerajaan BN sentiasa bersungguh-sungguh dalam memikirkan pelbagai kaedah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan program transformasi seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah mula dirasai.
"Ini (kejayaan program transformasi) memang menjadi satu isu untuk pembangkang kerana selalu menyatakan kerajaan tidak tahu buat kerja. Kerja dia (pembangkang) hanya membantah sahaja walaupun tahu itu baik untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada 225 warga emas dan ibu tunggal di sini hari ini.
Nor Mohamed berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub baru-baru ini.
Tunku Aziz menyatakan pakatan pembangkang kemungkinan tidak dapat menang besar di Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti berikutan program transformasi kerajaan BN yang membuah hasil.
Salahuddin pula mengingatkan pakatan pembangkang agar tidak merasa selesa kerana kemungkinan berlaku peningkatan sokongan di kalangan pengundi Cina terhadap Perdana Menteri berikutan kerja keras yang dilakukan oleh beliau. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment