My Add

Sunday, 29 July 2012

Warga Nepal maut selepas dubur ditusuk hos mesin angin

SEREMBAN, AHAD, 29 Julai, 2012: Seorang pekerja kilang warga Nepal maut akibat kecederaan parah di bahagian usus selepas duburya ditusuk dengan hos mesin angin dalam satu pergaduhan di sebuah kilang di Jalan Seremban-Jelebu, di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin ketika dihubungi hari ini berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa Sanjaya Yadav, 25, dipercayai bergaduh dengan seorang rakan senegaranya yang bekerja di kilang sama. 

Katanya, dalam pergelutan itu suspek berusia 33 tahun bertindak mengambil hos mesin angin dan terus menusuk ke dalam dubur mangsa. 

"Akibatnya mangsa menjerit kesakitan sebelum kemudiannya pengsan dan suspek yang panik dengan keadaan itu telah memaklumkan kepada penyelia kilang berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Katanya, penyelia kilang terbabit kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. 

"Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian usus akibat tekanan angin dari mesin terbabit," katanya. 

Saiful Azly berkata, polis menahan rakan mangsa untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment