My Add

Sunday, 29 July 2012

Bekalan daging, ayam dan telur untuk Aidilfitri mencukupi

JITRA, AHAD, 29 Julai, 2012: Bekalan daging, ayam dan telur untuk musim perayaan Aidilfitri dijamin mencukupi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom. 

Beliau berkata, pada masa sama Jabatan Veterinar dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memantau keperluan daging, ayam, telur dan barangan keperluan harian lain adalah mencukupi dan dijual pada harga berpatutan. 

"Kementerian mengambil langkah proaktif kerana menjangka permintaan pada musim perayaan akan meningkat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bubur lambuk kepada orang ramai di persimbangan lampu isyarat Taman Tengku Maheran Bandar Darulaman di sini, lewat petang semalam. 

Secara umum bekalan daging ayam bertambah satu hingga dua peratus iaitu 11.0 juta ekor seminggu sebelum perayaan, 11.1 juta ekor seminggu pada musim perayaan dan 11.2 juta ekor seminggu selepas perayaan, katanya. 

Beliau berkata, harga pasaran ayam dijangka berada pada paras RM3.60 satu kilogram (harga ladang) dan harga runcit ayam standard RM5.90 sekilogram manakala harga runcit ayam super iaitu tanpa kaki, kepala, hati dan pedal RM6.60 sekilogram. 

Permintaan telur ayam dijangka meningkat kepada 170.9 juta biji seminggu pada musim perayaan berbanding 165.7 juta biji seminggu pada hari biasa, katanya dan menurutnya harga ladang telur ayam gred A adalah 31 sen; gred B 29 sen; dan gred C 28 sen manakala harga runcit bagi setiap gred masing-masing 33 sen, 31 sen dan 30 sen sebiji. 

Mohd Johari berkata, permintaan terhadap daging lembu/kerbau pada bulan Ramadan dijangka meningkat dengan banyak sehingga hari perayaan. Harga daging tempatan antara RM20-RM23 sekilogram manakala daging import RM11-RM12 sekilogram. 

Beliau menasihatkan orang ramai yang hendak menyembelih ternakan terutama lembu, kerbau dan kambing supaya mendapatkan kebenaran Jabatan Veterinar terlebih dahulu bagi memastikan ternakan mereka bebas penyakit kuku dan mulut. 

Katanya, pada tahun lalu hampir 700 ekor lembu dan kerbau yang hendak disembelih oleh individu terpaksa ditahan kerana disyaki mengidap penyakit kuku dan mulut. 

Mohd Johari menggalakkan orang ramai membeli barangan terutama ikan, daging, sayur-mayur dan buah-buahan di 475 Pasar Tani di seluruh negara yang menawarkan 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. 

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) pula akan mengadakan jualan khas musim perayaan membabitkan 98 Pasar Tani terpilih di seluruh negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment