My Add

Sunday 29 July 2012

Mekanisme pelajar sambung pengajian dikaji

PASIR GUDANG, AHAD, 29 Julai, 2012: Kerajaan akan mengkaji mekanisme terbaik bagi membolehkan 130 penuntut Malaysia di Syria menyambung pengajian mereka di Jordan atau di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penuntut terbabit yang telah kembali ke Malaysia diminta berhubung terus dengan pihak kementerian untuk tindakan susulan.

"Penuntut kita di Syria yang balik ini digalakkan untuk menyambung semula pengajian mereka di Jordan atau mungkin boleh berunding untuk kita lihat apa yang boleh kita lakukan untuk membolehkan mereka menyambung semula pengajian.

"Mereka perlu berhubung dengan kita dan kementerian akan kaji apa tindakan yang terbaik untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Darussalam dan majlis berbuka puasa di Taman Scientex, di sini semalam.

Kerajaan mengambil keputusan memindahkan penuntut Malaysia dari Syria pulang ke tanah air memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.

Kumpulan pertama sebanyak tujuh penuntut tiba di tanah air pada Rabu lepas manakala kumpulan terakhir membabitkan 100 penuntut tiba semalam.

Selain itu, seramai tujuh penuntut pulang ke Malaysia atas inisiatif sendiri, lapan penuntut sedang bercuti atau berada di luar Syria manakala lapan lagi penuntut enggan kembali ke tanah air. 

Mengenai lapan pelajar yang enggan pulang itu, Khaled menegaskan pihaknya tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap mereka kerana keputusan itu dibuat atas kehendak mereka sendiri.

"Kita sudah minta dan pujuk mereka untuk balik ke Malaysia, ini keputusan mereka sendiri dan kita tidak dapat buat lebih daripada itu, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment