My Add

Sunday 29 July 2012

Gesa Lajim keluar UMNO

KOTA KINABALU, AHAD, 29 Julai, 2012: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini meminta Datuk Seri Lajim Ukin keluar daripada UMNO selepas meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort. 

"Beliau (Lajim) tidak boleh mendapat kedua-duanya. Jika beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan pendirian parti atau pendirian kerajaan dan sebaliknya beliau secara diam-diam mahu bekerja dengan pembangkang, dengan itu beliau patut keluar daripada UMNO sepertimana yang akan dilakukan oleh seorang yang 'gentleman'," katanya kepada Bernama. 

Salleh mengulas pengumuman Lajim semalam yang beliau meletakkan semua jawatan tetapi tetap menjadi anggota UMNO dan kekal memegang jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Beliau berkata, Lajim patut keluar UMNO secara bermaruah kerana beliau tidak lagi berpegang kepada perjuangan dan dasar parti dan tidak sepatutnya menunggu untuk dipecat. 

"Inilah sebenarnya apa yang beliau mahu pucuk pimpinan parti lakukan. Beliau mahu bertindak sebagai seorang wira dan beliau dapat (kemudiannya) memberitahu rakyat yang beliau dipecat ketika sedang memperjuangkan hak rakyat. 

"Tampaknya inilah rancangannya, tetapi rakyat tidak akan terperdaya," katanya. 
Salleh juga menyangkal dakwaan Lajim bahawa Umno dan BN tidak berbuat apa-apa untuk kebajikan rakyat Sabah. 

Beliau berkata, Lajim sudah menjadi sebahagian daripada sistem itu selama kira-kira 18 tahun dan amat arif mengenai hasrat dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020. 

"Anehnya, beliau tidak merungut sebelum ini. Saya percaya rakyat tidak "buta" dan tahu apa yang sebenarnya dilakukan oleh BN. Mereka cukup bijak untuk membuat penghakiman sendiri mengenai prestasi baik BN dalam melaksanakan tugasnya. 

"Sebab itu kenapa BN menang besar di Sabah pada pilihan raya umum 2008. Jadi adalah tidak betul untuk menyatakan sekarang bahawa BN tidak berbuat apa-apa untuk rakyat, khususnya di Sabah," katanya. 

Lajim, 57, semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta merta. Beliau sebelum itu meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Cawangan Kerambai Kebatu. 

Beliau juga menyatakan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk memutuskan mengenai keanggotaannya dalam parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung jawatannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Lajim juga mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) atau Sabah Reform Front dan barisan 17 wakil — seorang bagi setiap kawasan Parlimen — di negeri ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment