My Add

Sunday 2 December 2012

Agong hadir majlis sanding anak Hishammuddin

*TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah bergambar dengan Muhd. Anas Zawawi Khalid dan Nasha Alyssa Hishammuddin di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajjah Kalsom; Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (duduk, dua dari kiri); Tun Mohd. Khalil Yaakob (duduk empat dari kiri), Najib Tun Razak, Rosmah Mansor, Dr. Mahathir Mohamad, Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Abdullah Ahmad Badawi,, Jeanne Abdullah dan Hishammuddin Tun Hussein.

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis persandingan anak perempuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara juga diserikan dengan kehadiran Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama Tun Jeanne Abdullah serta lebih kurang 1,000 tetamu lain.

Muhd. Anas merupakan anak sulung kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K dan bekas isteri, Tengku Zawiyah Tengku Izham.

Penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang juga ibu tiri pengantin lelaki turut hadir.

Pasangan pengantin, Nasha Alyssa Hishammuddin, 23, dan Muhd. Anas Zawawi Khalid, 25, nampak anggun dan bergaya mengenakan pakaian berwarna putih mutiara.

Mereka diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya pada 24 November lalu.

Kedua-dua pengantin merupakan menantu pertama dalam keluarga masing-masing.

Semalam, pasangan tersebut diraikan dalam majlis penuh meriah di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment