My Add

Saturday 1 December 2012

Akta Bangkrap akan dikaji semula - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan mengkaji semula Akta Bangkrap bagi meringankan beban rakyat yang muflis akibat beban hutang.

Perdana Menteri berkata, pihaknya akan meneliti kaedah pengisytiharan bangkrap serta mencari jalan bagi membebaskan mereka yang sudah diisytihar muflis.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan. Mana yang boleh dan munasabah kita cuba bebaskan," kata Presiden UMNO.

Najib berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Usul mengenai Akta Bangkrap itu dikemukakan oleh Pemuda UMNO pada perhimpunan tersebut yang menyebut lebih 120,000 orang kini menghadapi masalah muflis akibat beban hutang.

Di bawah Akta Bangkrap 1967, seseorang itu akan diisytihar muflis jika mereka menanggung hutang minimum RM30,000 dan mengaku tidak mampu membayar hutang tersebut.

Perdana Menteri turut menaikkan jumlah pinjaman maksimum Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) daripada RM50,000 kepada RM100,000 bagi menggalakkan lebih ramai wanita menjadi usahawan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment