My Add

Sunday 2 December 2012

Dua pertiga pasti milik BN - PM

*BARISAN kepimpinan UMNO meletakkan tangan pada dada sambil mengikut ikrar yang dilafazkan oleh Najib Tun Razak ketika membuat ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak percaya majoriti dua pertiga pasti menjadi milik Barisan Nasional (BN) jika semua ahli UMNO dan parti-parti komponennya sepakat menyokong calon pilihan raya yang dipilih pucuk pimpinan.

Menaruh keyakinan itu dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini, Presiden UMNO itu percaya pakatan pembangkang tidaklah sekuat mana, tetapi cuma yang dikhuatirkan beliau adalah persengketaan dalam isu pilihan calon.

Atas sebab itu di hadapan lebih 4,000 perwakilan hari ini, beliau mengutarakan soalan cepumas untuk difikirkan oleh ahli UMNO dan BN demi meraih kembali mandat memerintah daripada rakyat.

"Saya nak ambil lima kemungkinan, akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti, sokong (sahaja), tidak bekerja, sabotaj (disambut sorakan perwakilan) dan lompat parti.

"Ini survey penting, tanya diri sendiri. Sebab itu dalam perhimpunan ini, kita mesti kata dengan suara yang cukup hebat bahawa jawapan yang kita hendak kepada soalan cepumas itu tidak lain tidak bukan, iaitu kalau saya tidak dipilih sebagai calon, saya tetap akan sokong sepenuhnya calon UMNO dan Barisan.

"Kalau itu jawapannya, kalau itu yang sebenarnya dalam hati kita, insya-Allah, Pilihan Raya Umum ke-13 empunya kepada UMNO dan BN dengan kemenangan dua pertiga," kata beliau.

Najib berkata, beliau perlu mengingatkan meskipun perwakilan dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini bergema menyokong calon pilihan parti, namun apakah semangat itu mampu dipertahankan sehingga tiba pilihan raya nanti.

"Sebab di kalangan kita kadang-kadang ni banyak batu ronsonnya, banyak tukang kipasnya, yang akan cong kita kalau tak kuat iman, kita daripada sokong sepenuhnya, dia turun kepada sokong ataupun daripada sokong, dia buat dek (tak tahu), tak kerja (bantu jentera) ataupun lebih parah daripada itu, dia sabotaj parti atau lompat parti," kata beliau.

Menurut Presiden UMNO itu, beliau memang menaruh kepercayaan tinggi bahawa kebanyakan perwakilan dalam dewan perhimpunan hari ini merupakan penyokong tegar parti.

Namun, kata beliau, dalam politik segalanya berkemungkinan.

"Jangan lupa ada juga bekas menteri, bekas timbalan menteri yang telah mengkhianati parti kita.

"Dia dah rasa nikmat jadi menteri, nikmat jadi timbalan menteri dan banyak lagi nikmat lain tetapi hari ini kerana gila jawatan kerana dirasuk oleh orang tertentu, hari ini menjadi orang yang menentang UMNO dan BN," kata beliau.

Najib turut menyifatkan sambutan Perhimpunan Agung UMNO kali ini cukup luar biasa.

"Jurucakap pun macam Tan Sri Muhyiddin sebut tadi pengisiannya cukup baik, nak cakap merapu kurang kali ini.

"Tidak ada reaksi yang negatif di kalangan mereka yang sedang memerhati perjalanan perhimpunan kita.

"Dan yang cukup teristimewa bukan sahaja di kalangan orang Melayu yang katanya gah perhimpunan ini menyebabkan mereka lihat bahawa UMNO semakin hari semakin pulih. Dan padanya UMNO semakin hari semakin layak untuk terus memimpin negara kita," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment