My Add

Monday 3 December 2012

Imej kesalahan rakaman kamera AES berkurangan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Disember, 2012:. - Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mencatatkan penurunan bilangan imej kesalahan yang dirakam kamera di 14 lokasi awal pemasangannya, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan,Datuk Abdul Rahim Bakri berkata penurunan itu sekaligus membuktikan penguatkuasaan secara elektronik dapat mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas walaupun dalam jangka masa singkat pelaksanaannya.

"Sebagai contoh di kilometer 301 Kajang PLUS Expressway, rakaman imej kesalahan telah menurun sebanyak 77.25 peratus sepanjang tempoh dari 1 Oktober hingga 16 November 2012," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berhubung keberkesanan pelaksanaan AES pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dan perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan turut mendapati pengguna jalan raya kini lebih cenderung untuk menggunakan lorong kiri berbanding lorong kanan yang lebih laju.

"Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa bilangan kenderaan yang dipandu melebihi had laju akan menurun sebanyak 70 peratus melalui penguatkuasaan ini selain dapat mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya antara 17 hingga 71 peratus serta menurunkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 40 peratus," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan meneruskan pemasangan 1,093 kamera AES lagi di 831 lokasi seluruh negara termasuk di Sarawak dan ia dijangka selesai pada penghujung tahun depan.

Berkenaan jumlah saman AES, Abdul Rahim berkata sehingga 26 November lepas, sebanyak 256,899 saman telah dikeluarkan.

"Daripada jumlah itu sebanyak 243,545 saman dikeluarkan bagi kesalahan memandu melebihi had laju manakala 13,354 lagi kerana melanggar peraturan lampu isyarat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment