Kebakaran: Tragedi Krismas bagi ibu tunggal
KUALA LUMPUR, SELASA, 25 Disember, 2012: Perayaan Krismas yang sepatutnya disambut meriah bertukar tragedi bagi seorang ibu tunggal apabila rumahnya di Flat Sri Kelantan, Sentul, di sini musnah dalam kebakaran.
K.Gerjarani, 52, berkata, ketika kejadian pada pukul 11 pagi itu, beliau dan anak perempuannya berumur 27 tahun tiada di rumah sebelum dimaklumkan oleh jiran mengenai kebakaran yang berlaku di unitnya yang terletak di tingkat 16.
"Saya baru keluar rumah untuk bersarapan, namun selepas mendapat panggilan, saya terus bergegas pulang dan mendapati rumah saya hangus sepenuhnya. Tiada barangan yang sempat diselamatkan,” katanya.
Gerjarani yang bekerja sebagai kerani di klinik swasta berkata, kejadian itu turut mengorbankan dua kucing yang dipeliharanya di rumah yang didiami sejak 20 tahun.
"Saya tak kisah pasal rumah, rumah boleh dicari, tapi saya sedih kucing yang menjadi peneman saya selama ini, mati,” katanya.
Gerjarani menganggarkan kerugian yang dialaminya sekitar RM20,000. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment