My Add

Saturday 1 December 2012

Perhimpunan Agung UMNO lancar hasil kawalan ketat

KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012:: Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir hari ini berjalan lancar hasil peningkatan kawalan keselamatan, kata Pengarah Keselamatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Nasaruddin Zahari.

Katanya, selain 70 anggotanya, kehadiran lebih 100 anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di PWTC sejak Isnin lalu berjaya mencegah insiden tidak diingini.

"Tidak ada insiden yang mengganggu perhimpunan itu kerana anggota pasukan keselamatan berkawal di setiap kawasan terutama kawasan khas seperti Laman Media yang memastikan hanya petugas dengan pas media khas saja dibenarkan masuk," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Katanya, peningkatan kawalan keselamatan itu atas permintaan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abd Rauf Yusoh.

"Beliau (Abd Rauf) sudah meminta supaya kawalan keselamatan diperketatkan bagi mengelakkan gangguan seperti perbuatan mengedarkan risalah anti-Kerajaan seperti yang berlaku pada perhimpunan sebelum ini," katanya.

Nasaruddin berkata, hanya beberapa insiden kecil berlaku termasuk cubaan menjual buku menghina Sultan Johor tetapi semuanya dapat ditangani dengan baik.

Beliau berkata, kerjasama orang ramai serta perwakilan UMNO juga membantu melancarkan lagi operasi kawalan keselamatan sepanjang perhimpunan.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir di perhimpunan ini kerana mematuhi segala arahan pihak keselamatan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment