My Add

Sunday 2 December 2012

Perwakilan UMNO pulang dengan `peluru' dan tekad yang kuat

KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012: Ribuan anggota perwakilan dan pemerhati bahagian pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir di sini hari ini, pulang dengan membawa bekalan 'peluru' yang cukup, dan tekad yang kuat, untuk berperang memenangkan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Pasukan tahan lasak UMNO - Wanita, Pemuda dan Puteri - serta para pemerhati bahagian yang rata-rata pendukung kuat parti di peringkat akar umbi sepanjang berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra sejak 27 November, menerima banyak input, idea, saranan dan menimba pengalaman daripada pemimpin dan pembahas.

Kami menghayati dan mencerna semua amanat presiden, ucapan timbalan presiden dan setiap perbahasan. Pulang nanti, kami akan mengolahnya menjadi peluru untuk dikongsi dengan akar umbi parti," kata pemerhati, Datuk Dr Kaisan Abdul Rahman.

Bercakap kepada Bernama di akhir perhimpunan agung hari ini, beliau percaya bahawa semua pejuang UMNO yang hadir menimba banyak pedoman daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meningkatkan keyakinan masing-masing untuk menggalas tekad memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Saya sendiri dan para anggota parti dari Bahagian Pasir Puteh yang hadir di sini kini merasa lebih yakin. Kelantan akan kami menangi semula, InsyaAllah, kerana gelombang merah sudah deras beralun dan selepas ini takkan dapat dihalang lagi oleh PAS," katanya.

Peringatan Najib membuka mata anggota perwakilan dan pemerhati bahawa UMNO kini akan menghadapi bukan hanya satu lagi pilihan raya sebaliknya ibu segala pilihan raya, pertarungan politik yang sengit, yang akan menentukan survival parti.

Menganggap ketiga-tiga sayap parti sebagai pasukan tahan lasak UMNO, Muhyiddin mahu mereka bergerak ke serata pelusuk desa dan kota, harungilah lembah, sungai dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna menjulang panji perjuangan. 

Tsunami politik yang menggegarkan UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan BN kehilangan empat negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor - memberi pengajaran penting khususnya kepada tiga sayap itu, yang sejak 2008 tidak lagi mengenal masa rehat untuk membuat persiapan dan siapsiaga apabila semboyan PRU-13 dibunyikan.

Bagi anggota perwakilan dari Pasir Mas Muhamad Azmi Alwi, dalam waktu yang masih berbaki sebelum pilihan raya umum menjelang, ketiga-tiga sayap ini harus bekerja sebagai satu pasukan untuk menarik sokongan khususnya golongan atas pagar dan pengundi yang tinggal di luar kawasan.

"Dalam ucapan dasar presiden, banyak hikmah yang dapat saya petik yang akan kami garap untuk dijelaskan kepada para pengundi luar Kelantan yang dianggar sebanyak 150,000 orang. Apabila mereka pulang untuk mengundi, diharap dapat pula memberi penjelasan kepada kaum keluarga masing-masing," katanya.

Seorang lagi pemerhati, Sera Nasir dari Kuala Lumpur berkata, beliau tertarik dengan saranan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu lebih 1.3 juta anggota pergerakan itu berganding bahu bersama sayap Pemuda dan Puteri untuk memantapkan lagi Umno dalam menghadapi PRU ke-13.

"Saya percaya peringatan Shahrizat supaya sifat ingin bersaing sesama sendiri tidak seharusnya timbul dalam diri anggota Wanita, malahan mereka patut berbangga dengan kejayaan yang dicapai, sebagai kejayaan UMNO. Pencapaian Pemuda dan Puteri harus dianggap sebagai kejayaan anak-anak mereka sendiri," katanya.

Mahu tidak mahu, usaha mendekati masyarakat dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, harus dijalankan terus oleh pemimpin bahagian, agar Umno dan BN sentiasa dilihat dekat di hati masyarakat.

Untuk menarik undi wanita, perlu juga disebar luas fakta pelbagai kejayaan golongan wanita di bawah kerajaan BN yang ditunjangi UMNO melalui pelbagai program untuk mereka.

Pada perhimpunan kali ini, perwakilan dibaji dengan peringatan betapa pentingnya kuasa pengundi dan gerak kerja memikat terutama pengundi muda, kerana undi mereka boleh menjadi penentu kemenangan BN.

Pergerakan Puteri UMNO pula sepatutnya terus mendekati golongan pengundi atas pagar dan pengundi muda bagi mengenal pasti kemahuan mereka supaya mereka membuat pilihan yang tepat menyokong kerajaan sedia ada.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menegaskan untuk tujuan itu Puteri Umno akan menubuhkan skuad penggerak bagi mengenal pasti keperluan mendesak golongan pengundi atas pagar itu.

Sementara itu, anggota perwakilan ketiga-tiga sayap itu juga diingatkan supaya sentiasa sedar dengan ancaman pakatan pembangkang yang cuba melemahkan mereka dan mempengaruhi minda rakyat dengan pelbagai dakyah supaya membenci UMNO dan BN.

Pasukan tahan lasak UMNO ini harus pantas mematahkan dakyah pembangkang dengan bekalan peluru yang ada bagi menyahkan kecelaruan fikiran rakyat yang sebelum ini diracuni pembangkang.

Jika semangat perjuangan yang tinggi, sepakat dan sekata sebagai satu pasukan Umno yang mantap yang tergambar jelas pada perhimpunan agung ini dapat dipanjangkan ke negeri, bahagian dan cawangan, sudah pasti gelombang merah UMNO tidak akan mampu dibendung lagi oleh pakatan pembangkang.

Apatah lagi pakatan pembangkang sudah jelas kini hanya lebih berupa 'enau dalam belukar, mahu melepaskan pucuk masing-masing' tanpa ada kesepaduan seperti UMNO untuk membela dan memajukan bangsa dan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment