KUALA LUMPUR, SABTU, 01 November, 2012:: Seorang perwakilan UMNO hari ini menggesa parti itu mewujudkan mekanisme untuk menangani gejala penyelewengan akidah umat Islam di negara ini yang giat dilakukan sesetengah pihak sekarang.
Wakil Kelantan, Mohd Afandi Yusoff berkata, mekanisme itu harus memantau kegiatan sedemikian yang mampu menggugat kesucian dan keharmonian agama Islam serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.
Gesaan itu dibuat beliau ketika membentangkan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Selasa lalu, Timbalan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan secara serentak perhimpunan tiga sayap UMNO, membidas tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetengahkan ideologi songsang atas nama politik baharu, yang meliputi kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral.
Dalam usulnya itu, Mohd Affandi menggesa UMNO memperhebatkan program dakwah dan keagamaan menerusi semua bentuk media bagi mengubah persepsi buruk terhadap Islam, serta memperbanyakkan peluang untuk pembabitan golongan berpendidikan agama dalam parti.
Ketua Pemuda UMNO Rantau Panjang itu juga mahu parti menyelaras dan memperkasa kedudukan serta fungsi institusi agama di semua peringkat sambil menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan sultan sebagai ketua agama, serta mempertahankan masjid dan surau sebagai tempat penyatuan umat Islam.
Mohd Afandi turut mencadangkan supaya media elektronik memperbanyak slot agama yang dengan mengundang tokoh-tokoh agama daripada UMNO bagi membicarakan soal agama.
Mengenai pendidikan pula, beliau menyarankan UMNO mewujudkan skim pembiayaan pendidikan sendiri dan menggerakkan Pemuda serta Puteri untuk melaksanakan program asas pendidikan seperti tuisyen percuma, bimbingan pelajar dan peperiksaan, serta panduan kerjaya secara besar-besaran dan berterusan di sekolah bandar dan desa, bagi memastikan warga muda sentiasa terbela.
Beliau mencadangkan supaya pembangunan modal insan diperkasa selaras dengan agenda transformasi sambil memberi penekanan kepada kemahiran dan vokasional dengan menyediakan peruntukan yang mencukupi.
"Menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan mendesak kerajaan agar tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang mempertikaikan semangat PPPM khususnya dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai alat penyatuan dan perpaduan bangsa," katanya.
Pada pembentangan itu beliau turut membidas PAS kerana ghairah mendoakan kehancuran UMNO tetapi tidak berbuat demikian dalam isu kezaliman Israel ke atas umat Islam di Palestin.
"...mereka mendoakan supaya UMNO dihancurkan... betapa dahsyatnya perbuatan mereka terhadap kita sesama Islam.
"Dalam soal ini kita bertanya kepada mereka, di saat umat Islam di Palestin ditindas dan dizalimi, dibunuh oleh Zionis, Yahudi... kenapa PAS tidak mendoakan supaya Yahudi dihancurkan, Zionis dihancurkan, Israel dihancurkan," katanya sambil menegaskan Umno tidak takut dengan doa PAS kerana Allah Maha Mengetahui.
Ketika menyokong usul itu, wakil Puteri UMNO, Hasrunizah Hassan berkata gejala penyelewengan akidah tidak dapat dihapuskan dengan hanya bergantung kepada ketegasan undang-undang, sebaliknya turut menuntut kesedaran agama dan akidah yang mendalam.
"Kita sebagai khalifah di muka bumi haruslah bersatu dalam memastikan gejala ini dapat diatasi dengan hikmah dan bijaksana, katanya.
Hasrunizah berkata, umat Islam kini terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah termasuk isu murtad, hiburan keterlaluan atau hedonisme, seks bebas dan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
"Gejala-gejala keruntuhan akidah bukan sahaja menggugat kemurnian dan kesucian Islam, malah sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia," tegasnya.
Beliau turut menyelar sikap sesetengah pihak yang menjadi taksub kepada suatu fahaman politik tertentu sehingga menidakkan saudara seagama yang tidak sefahaman dengan mereka.
"Sifat fanatik dan taksub adalah sifat tertutup yang tidak dapat menerima pendapat orang lain sama sekali (dengan menyifatkan) orang itu bodoh, orang ini jahil. Dia sahaja yang betul dan maksum. Pihak yang mengkafir dan memurtadkan orang lain adalah tanda jelas ketaksuban," tegasnya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment