My Add

Saturday 1 December 2012

UMNO lebih tertib, inklusif dan demokratik mendengar suara akar umbi

KUALA LUMPUR, SABTU, 01 Disember, 2012:: Perhimpunan Agung UMNO kali ini jelas membuktikan Umno bukan sahaja mendengar suara akar umbi, malah lebih daripada itu kerana lebih tertib daripada PAS, lebih inklusif daripada DAP dan lebih demokratik daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, semua jurucakap sepanjang perhimpunan dapat membahaskan ketiga-tiga usul dengan baik dan berjaya menjiwai tuntutan setiapnya, di samping meletakkan kepentingan perjuangan melebihi kepentingan peribadi.

Menurutnya 476 daripada 521 usul yang diterima dibahaskan di sepanjang perhimpunan kali ini dengan selebihnya diterima tanpa bahas dan tiada usul ditolak.

Pada ucapan pengulungannya di hari terakhir perhimpunan hari ini, beliau merumuskan semua jurucakap sepanjang perhimpunan memberi penekanan kepada empat aspek utama yang berkisar kepada prinsip matlamat perjuangan; pemimpin dan kepimpinan; prestasi dan pencapaian; dan kepincangan serta ancaman bahaya parti lawan.

Katanya, walaupun prinsip matlamat perjuangan UMNO kekal sejak ditubuhkan kira-kira 66 tahun lalu, landskap politik yang baharu menuntut transformasi dalam pendekatan, cara bekerja, bertindak serta berkomunikasi.

Katanya, ini supaya matlamat perjuangannya lebih inklusif, bukan sahaja berkisar mengenai anggota Umno dan Barisan Nasional (BN), malah merangkumi seluruh rakyat, terutama golongan muda yang bakal mewarisi negara.

Pada aspek pemimpin dan kepimpinan, Hishammuddin berkata, UMNO bersyukur kerana peralihan kuasa berlangsung dalam suasana tertib dan sempurna sejak dulu lagi, sekali gus melancarkan kesinambungan dalam matlamat dan perjuangan.

Menurutnya sepanjang 55 tahun kemerdekaan negara, agenda pembelaan rakyat dan program pembangunan negara sentiasa diutamakan UMNO dan BN, dan hasilnya dapat dilihat dan dinikmati.

"Malaysia jadi contoh teladan dalam pelbagai bidang sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Namun kita belum puas hati, ini diakui oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, bahawa kerajaan BN tidak sempurna, hakikatnya tiada kerajaan dalam dunia yang sempurna. 

"Inilah yang dikupas oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahya wakil Perlis (semasa membahaskan usul agama dan pendidikan) yang sebenarnya menunjukkan watak dan pegangan nilai presiden," katanya.

Merujuk kepada kepincangan pembangkang, Hishammuddin berkata, terlalu banyak kepincangan dalam parti lawan untuk disenaraikan satu persatu, dan sebanyak itu jualah ancaman bahaya yang timbul jika mereka mendapat kuasa mentadbir negara.

"Sepanjang perbahasan, ramai jurucakap mengupas perkara ini, pakatan (pembangkang) mereka songsang, ideologi mereka cacamarba, pemimpin mereka sesumpah politik, sanggup mengkhianati agama, bangsa dan negara," katanya.

Hishammuddin seterusnya mengingatkan semua pihak bahawa pilihan raya bukan perkara main-main, kerana ia merupakan soal nasib dan masa depan bangsa yang tidak boleh diperjudikan.

"... kerana tiada yang lebih sayu daripada melihat bangsa sendiri menjadi hamba, tiada yang lebih pilu daripada melihat anak bangsa melarat dan menderita di tanah air sendiri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment