My Add

Saturday 1 February 2014

Bekalan makanan tiba di kem Yarmouk

*  GAMBAR dikeluarkan agensi berita SANA, menunjukkan penduduk sekitar kem pelarian Palestin di Yarmouk, menerima bekalan makanan daripada kakitangan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Damsyik, Syria, kelmarin. - AFP
DAMSYIK, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Konvoi bantuan makanan semalam dibenarkan memasuki kem pelarian Palestin di Yarmouk di mana beribu-ribu penghuninya mengalami kebuluran selepas kawasan berkenaan terkepung akibat perang saudara Syria.

Jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Chris Gunness berkata, sebanyak 1,028 catuan makanan telah dihantar ke kem yang terletak di selatan Damsyik itu dalam operasi awal bantuan kemanusiaan tersebut.

"Setiap catuan cukup untuk sebuah keluarga seramai lapan orang makan selama 10 hari,'' katanya.

Beliau berkata, keadaan agak huru-hara ketika makanan tersebut diagihkan ekoran bantuan itu merupakan yang pertama memasuki kem tersebut pada 21 Januari lalu selepas lebih enam bulan tidak menerima sebarang bekalan akibat perang saudara Syria.

Katanya, UNRWA berharap dapat meneruskan penghantaran konvoi-konvoi bantuan berkenaan ketika puluhan ribu penduduk awam masih memerlukan bantuan.

"Berpuluh-puluh ribu orang termasuk 18,000 penduduk Palestin terutama wanita dan kanak-kanak di sana masih memerlukan bantuan,'' katanya.

Menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, sekurang-kurangnya 86 orang mati di Yarmouk dalam beberapa bulan ini akibat kebuluran atau kekurangan bekalan perubatan.

Kem tersebut terletak di bawah kawalan kumpulan penentang kerajaan dan dikepung oleh tentera kerajaan sejak Jun lalu.

Keadaan itu menyebabkan bantuan makanan serta bekalan perubatan sukar dihantar ke kawasan berkenaan.

Dijangka kira-kira 18,000 penduduk Palestin masih berada di kem tersebut walaupun sebahagian besar kawasan itu musnah akibat pertempuran antara tentera dan kumpulan penentang kerajaan. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment