Perpaduan PBB kukuh
KUCHING, RABU, 12 Februari, 2014: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan berpecah-belah meskipun Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur sebagai Presiden dan Ketua Menteri Sarawak.
Timbalan Ketua Wanita PBB, Datuk Fatimah Abdullah (gambar) berkata, semangat perpaduan dalam parti-parti komponen juga cukup baik.
"Saya percaya semangat dan komitmen yang ditunjukkan pada mesyuarat lalu dapat diteruskan meskipun Abdul Taib tidak lagi mengetuai parti.
"Sudah tentu mana-mana parti pun pasti ada masalah, namun kita masih boleh duduk dan berbincang kerana masing-masing mengamalkan sikap saling hormat-menghormati," katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri berkata, semua pemimpin dalam parti sebulat suara memberi sokongan sepenuhnya kepada pengganti Ketua Menteri Sarawak kelak.
Katanya, perkara itu telah dipersetujui dalam mesyuarat 'focus group' PBB melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menteri-menteri dalam kabinet Sarawak.
"Kami sebulat suara menyokong siapa pun yang akan dipilih Abdul Taib untuk menggantikan tempatnya, malah yakin keputusan yang dibuat beliau itu adalah tepat.
"Dalam masa sama saya berharap pemimpin yang dipilih sebagai pengganti Abdul Taib nanti akan meneruskan legasi beliau dan segala perancangan dalam usaha membawa Sarawak ke arah negeri berpendapatan tinggi," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment