Jawatankuasa harmonikan undang-undang siber ditubuh
KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 April, 2014: Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan bahawa satu jawatankuasa kerja ditubuhkan di bawah Jabatan Peguam Negara untuk meneliti pendekatan sesuai menangani isu berkaitan siber.
Jawatankuasa itu dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cybersecurity Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasa berkaitan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, mereka berperanan menilai dan menyusun semula beberapa akta termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengelakkan berlakunya pertindihan bidang kuasa serta memastikan keberkesanan tindakan.
"Dalam bahasa mudah, jawatankuasa ini ditubuhkan bagi mengharmonikan undang-undang berkaitan siber," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang meminta kementerian itu menyatakan jumlah kes fitnah siber dalam laman media baharu yang telah diambil tindakan.
Menurut Jailani, penyusunan semula beberapa akta di bawah satu bumbung dilihat lebih berkesan dalam mengatasi lompang dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan siber.
"Mungkin ada kementerian atau agensi berkaitan mempertikaikan penubuhan jawatankuasa itu namun penyusunan semula beberapa akta dan meletakkannya di bawah satu bumbung adalah lebih baik dalam soal ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment