My Add

Monday, 28 April 2014

Shahanim dan Suhaimi dipilih sebagai Senator

ALOR SETAR, ISNIN, 28 April, 2014: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Shahanim Mohd. Yusof dan bekas Ketua UMNO Bahagian Jerai, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah hari ini dipilih sebagai anggota Dewan Negara berkuat kuasa 21 Mei ini.

Pemilihan mereka dicadangkan kerajaan negeri Kedah pada sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pelantikan Shahanim dan Mohd. Suhaimi untuk menggantikan dua Anggota Dewan Negara yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 21 Mei ini iaitu Saiful Izham Ramli dan Mohd. Yusuf Hussin.

Mohd. Suhaimi ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN berkata, pelantikan sebagai Senator akan memberi ruang kepadanya untuk terus aktif membantu masyarakat khususnya golongan muda.

"Saya merupakan Bendahari Persatuan Mencegah Dadah Malaysia dan saya akan menggunakan jawatan sebagai Senator untuk terus membantu golongan muda agar menjauhi dadah," katanya.

Sementara itu Shahanim berkata, beliau akan menumpukan perhatian untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan wanita di negara ini khususnya di Kedah.

"Saya akan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah. Dengan jawatan sebagai Senator ini, saya akan lebarkan lagi bentuk bantuan kepada golongan wanita tanpa mengira batas usia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment