Ekuinas tingkat nilai ekuiti bumiputra RM2.8 bilion
Oleh Azman ibrahim
KUALA LUMPUR, isnin, 28 April, 2014: Syarikat cabang pelaburan kerajaan, Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) berjaya meningkatkan nilai ekuiti bumiputera sebanyak RM2.8 bilion setakat akhir 2013 menerusi 11 portfolio pelaburan syarikat-syarikatnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, peningkatan itu bersamaan 1.7 kali ganda daripada modal yang dilaburkan setakat ini.
Katanya, Ekuinas juga telah mewujudkan sebanyak 201 pengurus di mana 40.8 peratus adalah dalam kalangan bumiputera.
Jelasnya, jumlah kakitangan di bawah syarikat-syarikat portfolio Ekuinas sehingga akhir 2013 adalah sebanyak 9,336 orang di mana 56.4 peratus adalah bumiputera.
"Peningkatan nilai ekuiti bumiputera telah mewujudkan nilai ekonomi sebanyak RM4.1 bilion untuk setiap pemegang saham dalam portfolio syarikat Ekuinas.
"Ini menunjukkan impak positif model Ekuinas yang bukan sahaja memperkukuhkan bumiputera, sebaliknya untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan prestasi Ekuinas 2013 dan merasmikan buku laporan tahunan Ekuinas di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Ekuinas menerima dana tambahan sebanyak RM600 juta daripada kerajaan pada tahun lalu, menjadikan dana terkumpul sebanyak RM2.4 bilion sejak ditubuhkan 2009 yang lalu.
Berdasarkan peruntukan dana tambahan itu, Ekuinas menjalankan sebanyak sembilan pelaburan langsung dan penyumberan luar dengan jumlah pelaburan RM246.8 juta pada tahun lalu.
Jumlah pelaburan Ekuinas sejak ditubuhkan sehingga kini menjadi RM1.8 bilion dengan 24 aktiviti pelaburan kesemuanya.
Tambah Abdul Wahid, Ekuinas berjaya mencatat pulangan portfolio kasar sebanyak RM655.9 juta pada tahun lalu.
Katanya, pencapaian itu bersamaan dengan kadar pulangan dalaman (IRR) bersih sebanyak 20. 4 peratus.
Katanya, pulangan yang disasarkan bagi jangka masa panjang adalah sebanyak 12 peratus dan aspirasi syarikat adalah sebanyak 20 peratus setahun.
Jelas Abdul Wahid, Ekuinas dijangka mendapat peruntukan dana tambahan sebanyak RM650 juta pada tahun ini.
Katanya, syarikat itu perlu meneroka pelaburan bidang baharu seperti penjagaan kesihatan.
"Pada masa yang sama, Ekuinas perlu mengukuhkan pelaburan di dalam sektor perniagaan teras seperti minyak dan gas, makanan dan minuman serta pendidikan," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment