My Add

Tuesday, 29 April 2014

Lebih ramai tentera AS di Filipina

MANILA, ISNIN, 28 April, 2014: Filipina dan Amerika Syarikat (AS) hari ini menandatangani perjanjian untuk membenarkan penempatan lebih ramai tentera AS di negara ini, beberapa jam sebelum Presiden AS, Barack Obama ke Manila.

Menteri Pertahanan Filipina, Voltaire Gazmin dan Duta AS ke Filipina, Philip Goldberg menandatangani perjanjian selama 10 tahun itu yang dilihat sebagai satu lagi elemen dalam usaha Obama menyusun semula tentera dan ekonomi AS di Asia.

Obama berkata, perjanjian tersebut akan menyaksikan kehadiran lebih ramai tentera AS di negara ini melalui latihan ketenteraan bersama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada pangkalan tetap tentera AS akan dibina di bawah perjanjian tersebut.

"Kerjasama lebih rapat antara tentera AS dan Filipina akan meningkatkan keupayaan untuk melakukan latihan dan kerjasama antara satu sama lain serta memberi maklum balas lebih cepat dalam menghadapi pelbagai cabaran," kata Obama dalam jawapan bertulis kepada stesen televisyen tempatan, ABS-CBN sebelum ketibaannya di negara ini.

Persetujuan yang diumumkan hari ini merupakan perjanjian rangka kerja dengan maklumat lanjut seperti jumlah tentera AS yang akan terlibat dan tempoh waktunya, akan dirunding dan diumumkan kemudian.

Obama berkata, beliau ingin menegaskan AS kekal dalam komitmennya untuk memberikan sokongan kepada Filipina.

"Kami berikrar untuk mengekalkan sistem pertahanan yang dicapai sejak enam dekad lalu. Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 masih utuh," katanya.

Obama tiba di Filipina hari ini selepas melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia dalam lawatannya ke Asia yang turut melibatkan Jepun dan Korea Selatan.

Dalam lawatannya selama sehari ke Filipina, Obama bertemu Presiden, Benigno Aquino III dan menghadiri majlis makan malam rasmi bersama pemimpin-pemimpin negara ini. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment