Ganti rugi RM1.43 juta ditolak
Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, ISNIN, 28 April, 2014: Kerajaan Malaysia dan lapan pegawai polis tidak perlu membayar ganti rugi RM1.43 juta kepada seorang pesara kerana penahanan salah oleh pasukan itu terhadapnya pada 1997 selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan mereka.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali yang bersidang bersama Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Lim Yee Lan sebulat suara membenarkan rayuan mereka terhadap liabiliti dan kuantum ganti rugi.
Mahkamah turut memerintahkan pesara itu, Dickson Ng Sek Wah membayar kos RM1,000.
Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf dari segi undang-undang ketika memutuskan jumlah ganti rugi RM1.43 juta perlu dibayar kepadanya.
Panel itu berpendapat, hakim bicara terkhilaf ketika bersandarkan kepada satu kes melibatkan seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abdul Malek Husin melawan Borhan Daud.
Menurut panel tersebut, kes itu tidak lagi merupakan nas undang-undang yang baik untuk dirujuk kerana keputusannya telah diketepikan oleh satu panel lain Mahkamah Rayuan.
Kerajaan dan lapan pegawai polis berkenaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2010 yang membenarkan saman Dickson bagi penahanan salah dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM1.43 juta.
Dickson, 63, menyaman lapan pegawai polis termasuk Ketua Polis Negara dan kerajaan pada 2000, mendakwa dirinya mengalami kecederaan serius termasuk hilang mata sebelah kiri semasa ditahan untuk soal siasat berhubung dakwaan mengimport sepucuk submesingan dari Finland tanpa lesen sah.
Responden yang ketika itu bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran, mendakwa hanya membantu sebuah syarikat untuk mengimport senjata api itu sebagai sampel bagi mengambil bahagian dalam tender terbuka Kementerian Dalam Negeri (KDN), bagi pihak polis.
Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad dan Peguam Persekutuan, Nur Aqilah Ishak mewakili pihak polis dan kerajaan manakala Dickson tidak diwakili peguam. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment