My Add

Saturday 24 September 2011

Anwar Ibrahim sudah habis modal politik - Zaid Ibrahim


DATUK Seri Anwar Ibrahim dilihat sudah kehabisan modal politik untuk 'membaham' kerajaan apabila kini bersetuju pula dengan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.

Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim berkata, Ketua Pembangkang itu tidak mempunyai idea lagi untuk mencipta slogan baru dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan dan kini hanya mampu mengubah pendirian biarpun terpaksa melanggar dasar pakatan pembangkang

''Saya lihat isu ini merupakan satu lagi helah politik Anwar kerana beliau sudah kehabisan modal untuk melawan pendekatan transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Dahulu beliau tuduh kerajaan zalim apabila mengaitkan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sekarang apabila akta itu sudah dimansuhkan maka beliau ubah pendekatan walaupun sanggup melanggar dasar perjuangan pakatan pembangkang,'' katanya kepada Utusan Malaysiadi, Jumaat.

Semalam, Anwar menyatakan pendirian terbaru mengenai hukum hudud dan menyifatkan pelaksanaannya tidak mencabuli hak orang bukan Islam kerana ia hanya melibatkan orang Islam selain jaminan terhadap pentadbiran yang adil.

Bagaimanapun, Anwar berkata, ia merupakan pandangan peribadinya memandangkan pakatan pembangkang tidak membincangkan perkara tersebut.

Persetujuan Anwar itu berdasarkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tetap mahu menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud biarpun tidak mendapat sokongan daripada sekutunya dalam pembangkang iaitu DAP.

Dalam konteks itu, Zaid berkata, Anwar tidak lagi mampu untuk memimpin pakatan pembangkang kerana politik yang dibawa Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jelas sekali tidak berprinsip.

''Sebab itu, Anwar membuat keputusan tergesa-gesa dan menyifatkan ia kenyataan peribadi (persetujuan hukum hudud).

''Sama juga dengan Pas apabila Nik Abdul Aziz juga mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu setiap keputusan perlu dibincang bersama,'' katanya.

No comments:

Post a Comment