My Add

Saturday 24 September 2011

Pas rancak ulang tayang drama bersiri 'hudud' Nik Aziz


PAS sedang rancak memutarkan 'lagu lama' mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan semata-mata mahu meraih sokongan orang Melayu terutama rakyat Kelantan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa parti itu tidak gentar sekiranya DAP mahu meninggalkan pakatan pembangkang adalah hanya satu sandiwara yang sudah diatur bagi menunjukkan ketegasannya terhadap isu pelaksanaan undang-undang Islam itu.

''Pas sedar mereka sudah ketiadaan modal politik bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO kerana mereka melihat parti kerajaan itu semakin kuat dan bertenaga untuk menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

''Mereka juga bimbang untuk mengekalkan kuasa pemerintahan di Kelantan, maka sebab itu mereka memainkan semula isu hudud bagi menarik semula sokongan terutama golongan muda,'' katanya dalam satu kenyataan, Jumaat

Nik Abdul Aziz semalam mengeluarkan kenyataan 'beraninya' apabila bertegas untuk menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud biarpun tidak mendapat sokongan daripada sekutunya dalam pembangkang iaitu DAP.

Ibrahim berkata, majoriti orang Melayu kini telah menolak perjuangan Pas kerana hanya menjadi 'pak turut' atau tentera upahan DAP demi kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu dalam parti itu biarpun sanggup menghancurkan kepentingan orang Melayu.

Katanya, perkara itu terbukti apabila Pas hanya berdiam diri membabitkan pelbagai isu berkaitan kepentingan Islam dan orang Melayu termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak hatta kedudukan raja-raja Melayu yang diganggu-gugat oleh DAP.

''Lebih buruk lagi ancaman DAP itu disokong oleh Pas atas dasar kepentingan politik dan peribadi.

''Kepimpinan Pas di Kelantan kini sudah terlalu gusar dengan berceramah siang dan malam untuk meraih semula sokongan kerana janji-janji pilihan raya untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata Kelantan belum lagi tertunai,'' katanya.

Sementara itu Pergerakan  Puteri UMNO menyifatkan tindakan Nik Abdul Aziz menimbulkan semula isu pelaksanaan hukum hudud dan tidak kisah sekiranya DAP meninggalkan gabungan pembangkang hanyalah ulang tayang 'drama bersiri' yang pernah 'diarahkan' oleh Menteri Besar Kelantan itu.

Ketua, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin  berkata, beliau yakin kenyataan Nik Abdul Aziz itu tidak akan kekal lama kerana esok atau lusa, Menteri Besar Kelantan itu akan mempertahankan DAP dalam apa jua tindakan yang mereka lakukan.

Katanya, Pergerakan Puteri UMNO melihat pendirian dan kenyataan Nik Abdul Aziz amat goyah sehingga beliau terlupa apa yang telah diucapkannya sehingga menyebabkan drama- drama jalinan hubungan pakatan pembangkang terpaksa diulang tayang berkali-kali.

''Apa pun, kita yakin DAP tidak akan meninggalkan gabungan pembangkang dan Pas sendiri akan terus bekerjasama dengan DAP demi kepentingan politik masing-masing terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

''Jadi biarlah Nik Abdul Aziz dengan hududnya dan DAP dengan gertakan mahu meninggalkan pakatan. Kita teruskan menjadi penonton sandiwara mereka," katanya kepada Utusan Malaysia Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nik Aziz yang tetap mahu menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud dan tidak kisah sekiranya DAP meninggalkan gabungan pembangkang.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beliau yakin Pas takut untuk meninggalkan gabungan pembangkang dan akan memujuk DAP supaya terus kekal bersama mereka.

Katanya, ini kerana, Pas tahu mereka tidak akan mendapat sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya umum akan datang sekiranya DAP keluar daripada pakatan pembangkang.

''Justeru, saya percaya kenyataan Nik Abdul Aziz itu hanya akan mengakibatkan Pas kucar-kacir kerana ia dibuat tanpa berbincang dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

''Pada masa sama, saya percaya Pas juga tidak akan melaksanakan hukum hudud kerana rakyat dan rakan seperjuangan mereka masih tidak memahami hukum hudud tersebut secara terperinci berikutan ketiadaan undang-undang keterangan mengenainya," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digesa melaksanakan hukum hudud serentak bersama negeri lain di bawah pimpinan pembangkang jika ingin memperlihatkan kesepakatan di antara mereka.

Tegasnya, Nik Abdul Aziz perlu melaksanakan hukum hudud serentak bersama negeri lain di bawah pimpinan pembangkang jika ingin memperlihatkan kesepakatan di antara mereka.

Katanya, pelaksanaan hukum hudud di Kelantan tidak harus menjadi gimik politik semata-mata sebaliknya ia perlu segera dilaksanakan seperti saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

No comments:

Post a Comment