My Add

Friday 23 September 2011

MB Kedah akui perlu dengar sekutu pembangkang

                                                     Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH


MENTERI Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengakui Kerajaan Pas Kedah perlu menjaga dan mendengar pendapat sekutunya dalam pakatan pembangkang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu perkara termasuk melibatkan syiar Islam.


Beliau berkata, berbeza dengan Kelantan, Pas Kedah menang dengan majoriti kecil pada Pilihan Raya Umum 2008 dan terpaksa bergabung dengan sekutunya daripada parti lain untuk membentuk kerajaan negeri.

Justeru, jelasnya, tidak wajar untuk membandingkan corak pentadbiran Kerajaan Pas Kedah yang baru tiga tahun memerintah berbanding Pas Kelantan yang mentadbir negeri itu sejak 1990.

"Jangan bandingkan saya (Kedah) dengan Kelantan. (Pas) Kelantan sudah lebih 20 tahun mentadbir. Mereka menang dengan majoriti yang banyak. Saya hanya dapat 16 kerusi dan terpaksa berkongsi dengan rakan-rakan yang bukan daripada Pas. Kebanyakan perkara kita terpaksa berunding dengan mereka dahulu untuk jangka panjang.

"Contoh yang nak buat baru-baru ini, bulan puasa jangan ada karaoke malam (menguatkuasakan larangan operasi hiburan pada bulan Ramadan), nak kiamat dunia. Simpatilah dengan saya bab itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan zakat sebanyak RM100,000 oleh Affin Islamic Bank Bhd. kepada Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Seri Mentaloon, Alor Setar, Khamis.

Menteri Besar ditanya mengenai kritikan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin terhadap pentadbiran Pas di Kedah kerana tidak membawa sebarang perubahan terutama dalam meningkatkan syiar Islam.

Mengenai kenyataan Mohd. Asri bahawa Kerajaan Pas Kedah hanya mengekalkan dasar yang telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) tanpa membuat penambahbaikan, Azizan menafikan perkara tersebut dengan memberi alasan kerajaan negeri yang ditadbir beliau telah membuat pelbagai perubahan yang lebih baik daripada BN.

Antara alasan yang diberikan beliau ialah Kerajaan Pas Kedah tidak berhutang dengan kerajaan Pusat, hasil balak yang semakin meningkat dan membina kampus KUIN.

Mengenai gesaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya pelaksanaan undang-undang hudud dikuatkuasakan di semua negeri yang ditadbir pakatan pembangkang termasuk Kedah, katanya, kerajaan negeri sedia menimbang perkara tersebut mengikut kesesuaian.

"Kalau dibenarkan di Kelantan, kita tengoklah macam mana keadaan kita esok, (lihat) kesesuaian," katanya.

Berhubung gesaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir supaya beliau melepaskan jawatan Menteri Besar dan digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, Azizan meminta Mukhriz agar tidak menjaga tepi kain orang lain. - Utusan.

No comments:

Post a Comment