PEMIMPIN Pas didakwa menjadikan pelaksanaan hukum hudud sebagai polemik politik untuk memikat pengundi-pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Pas sekali lagi terpaksa menggunakan hukum hudud sebagai agenda perjuangan untuk menutup kegagalan mereka menyelesaikan isu bekalan air bersih, pembangunan, perparitan, kemiskinan, isu ladang rakyat, kadar pengangguran yang tinggi dan pembangunan infrastruktur.
"Isu hudud dahulunya diperjuangkan oleh Pas termasuk penubuhan negara Islam tetapi ia tidak diteruskan selepas menang beberapa pilihan raya.
''Kini ia ditimbulkan kembali sebagai modal politik terutama di Kelantan dan Kedah, khusus untuk memancing undi sebahagian besar orang Islam," katanya ketika ditemui di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Padang Bual, dekat Bachok, Jumaat
.
Sehubungan itu, Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan mencabar kepimpinan Pas supaya mengadakan perbincangan yang telus dengan rakan mereka dalam pakatan pembangkang mengenai pelaksanaan hukum hudud tanpa perlu menjadikannya isu politik.
Beliau berkata, pendirian bersama pembangkang dalam perkara tersebut perlu diketahui oleh rakyat secara telus.
"Saya cabar pemimpin Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan perbincangan sama ada hudud dan penubuhan negara Islam perlu dilaksanakan.
''Malah, mereka juga perlu sekata mengenai isu pengiktirafan komunis sebagai hero kemerdekaan tanah air dan niat untuk mengubah Jalur Gemilang untuk diketahui oleh rakyat.
"Saya katakan mereka sebenarnya tidak sepakat dan sependapat kecuali untuk mendapatkan kerusi pilihan raya sahaja. Saya tidak setuju mereka (Pas) menggunakan hukum hudud secara bermusim untuk kepentingan politik. Orang bukan Islam pun akan tertanya-tanya kenapa isu itu kembali diperkatakan," katanya.
Awang Adek berkata, sekiranya pakatan pembangkang secara majoritinya bersetuju untuk melaksanakan hukum hudud, mereka mempunyai hak bagi membawa usul berkenaan untuk dibincangkan di Parlimen.
"Apa yang pasti ia tidak pernah menjadi disebabkan tidak ada keikhlasan. Hukum Islam dipermain-mainkan untuk kepentingan politik dan ini adalah suatu penghinaan dan penyelewengan yang seharusnya tidak dilakukan," katanya - Utusan.
No comments:
Post a Comment