My Add

Thursday 22 September 2011

DAP: Kes Mohd Sabu bukti BN masih guna mahkamah


Harakahdaily,  pada hari Khamis, menyiarkan  dengan panjang lebar kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok, menuduh pendakwaan terhadap Mohamad Sabu menunjukkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mempergunakan mahkamah sebagai saluran politik.
Timbalan Presiden Pas itu didakwa memfitnah anggota polis yang terbunuh ketika serangan komunis ketika zaman British menunjukkan BN mempergunakan mahkamah untuk menakut-nakutkan, membuli dan memenjarakan lawan politik mereka, katanya.

Ikuti laporan dakwaan Teresa Kok selanjutnya:
“Sekiranya didapati bersalah, beliau akan dihukum penjara selama dua tahun dan didenda. Sekiranya ini berlaku, beliau boleh ditegah dari bertanding dan berkempen di dalam pilihan raya umum yang akan datang.
“Adakah ini taktik BN untuk mengelak dari menghadapi Mat Sabu di dalam pilihanraya yang akan datang memandangkan perbicaraan beliau dijadualkan pada Disember 2011?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh. 
Sedangkan, ujarnya Khamis lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan reformasi politik di Malaysia dengan kata-kata manis seperti “mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik” dan “Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya. ”
“Tidak sampai seminggu telah berlalu, lawan politik beliau, Mat Sabu telah pun didakwa di mahkamah atas pendapat perbadinya mengenai sejarah,” ujarnya lagi.
Baginya, kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak dipedulikan begitu sahaja.
Tambahnya, Perdana Menteri yang benar-benar berfikiran terbuka dan dinamik haruslah sedar bahawa perbezaan pendapat mengenai penterjemahan sejarah tidak sesuai dibahaskan di bilik mahkamah tetapi haruslah diselesaikan melalui dialog dan perbahasan di dalam ruang akademik.
Lebih-lebih lagi, katanya kenyataan Mat Sabu tidak memfitnah sesiapa.
Menurutnya, Mohamad juga tidak mengapi-apikan sebarang isu perkauman ataupun agama.
Ini, ujarnya berbeza sekali dengan Utusan Malaysia dan Perkasa yang telah berulang kali mengeluarkan kenyataan yang mengapi-apikan sentimen perkauman, rasa benci and berbohong tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan.
Mereka, tambah beliau dibiarkan menyemai benih-benih ketakutan dan kebencian secara bebas.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Selangor menyifatkan pendakwaan terhadap Mat Sabu membuktikan kerajaan bersifat berat sebelah dan mengamalkan pendakwaan secara pilih kasih.
Teresa Kok turut mengutuk serangan bom petrol ke atas kediaman Mat Sabu kelmarin.
“Saya juga mengutuk ugutan simbahan asid yang diterima oleh beliau melalui SMS sebelumnya,” katanya.
Katanya, ugutan sebegitu terhadap beliau dan keluarga beliau adalah jenayah dan harus didakwa di mahkamah.
“Saya mengulang seruan saya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat kes ini, menangkap orang yang bertanggungjawab dan menyediakan pelindungan yang sewajarnya kepada beliau dan keluarga beliau.
“Saya juga menggesa pemimpin Barisan Nasional supaya mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengutuk ugutan terhadap Mat Sabu agar menunjukkan pendirian mereka menentang keganasan di dalam bidang politik,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment