My Add

Thursday 22 September 2011

Kes Sosilawati: Mangsa hubungi biras malam kejadian


BEKAS peguam, N Pathmanabhan, 42, (kanan, dan tiga pekerja ladang. T Thilaiyagan, 20. R Matan, 21 dan  R Khatavarayan, 31 yang didakwa  mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh jutawan Kosmetik, Datuk Sosilawati Lawya dan tiga individu lain dibawa masuk ke Mahkamah Tinggi Jenayah 8, Shah Alam, Khamis. Foto Berita Harian oleh Mohd. Fadli Hamzaah.                                                                                                                                                                                                



SEORANG biras kepada Noorhisham Mohamad, seorang mangsa dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Khamis bahawa mangsa telah menghubunginya pada malam pembunuhan itu.

Penolong Eksekutif Felda Palm Industry, Jefri Hamdan berkata, beliau berada di rumahnya ketika Noorhisham menghubunginya melalui telefon bimbit pada 10 malam 30 Ogos 2010.

Bagaimanapun, beliau hanya dapat bercakap “helo, helo, helo Hisham"
namun tiada jawapan selepas itu.

Jefri, 40, memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam N.Pathmanabhan bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Jefri, saksi pendakwaan ke-45, berkata ketika Noorhisham menghubunginya, beliau terdengar seperti bunyi angin dalam sebuah kereta yang sedang bergerak.

Beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Noorhisham kerana isterinya adalah adik kepada isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat, 39.

Jefri berkata, beliau telah berjumpa dengan pegawai penyiasat ASP Ishak Mohd pada 3.10 petang 12 Sept tahun lepas untuk memberi keterangan berhubung kejadian pembunuhan itu selain mengenai butir-butir diri mangsa.

Ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Ederis Zainuddin untuk menceritakan apa yang berlaku, Jefri berkata, beliau tidak menghubungi Noorhisham kembali dan Noorhisham tidak menghubunginya semula dan beliau menganggap mangsa tiada sebarang perkara penting untuk bercakap dengannya.

Jefri juga memberitahu mahkamah sewaktu beliau mengambil anak-anaknya yang berada di rumah Noorhisham, isteri mangsa mengatakan bahawa Noorhisham tiada di rumah kerana bekerja, dan untuk itu rancangan mereka untuk berbuka puasa bersama-sama terpaksa dibatalkan.

"Sepatutnya pada 31 Ogos tahun lalu, kami berbuka puasa di luar dengan membawa anak-anak saya dan anak-anaknya tetapi rancangan itu terpaksa dibatalkan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok. - BERNAMA.

No comments:

Post a Comment