My Add

Friday 23 September 2011

Pelaksanaan hukum hudud belum sesuai di Malaysia



TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hukum hudud wujud dalam syariah tetapi kerajaan berpendapat pelaksanaannya tidak sesuai dengan situasi dan komposisi masyarakat di Malaysia.


Tegas beliau, isunya ialah bukan mengenai hudud tetapi persoalannya ialah pelaksanaan hukum itu.

Justeru katanya, antara langkah yang diambil ialah memberi penjelasan dan pemahaman kepada rakyat supaya mereka faham maksud hudud sama ada ia sesuai dilakukan dalam persekitaran di Malaysia.

"Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, kita kena jelaskan supaya orang ramai faham, saya percaya sekarang ini belum sampai masanya (untuk dilaksanakan).

"Bukan soal hudud diterima atau tidak kerana dalam Islam memang ada hukum hudud, sebagai orang Islam saya tak tolak termasuk juga pembangkang... itu kenyataannya kerana ia terkandung dalam hukum syarak tetapi soal pelaksanaan itulah pokok perbahasannya," jelas beliau.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongannya terhadap cadangan kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Muhyiddin berkata, sekiranya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu melaksanakannya, terpulanglah kepada beliau.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, isu yang perlu difahami sejelas-jelasnya oleh semua pihak ialah UMNO tidak bercanggah pendapat tentang hukum hudud tetapi yang menjadi persoalannya ialah kesesuaian pelaksanaannya.

"Saya sudah dengar pembangkang hendak laksanakan hukum hudud ini dari dulu lagi, tetapi saya ada dengar mereka kata Tun Dr. Mahathir Mohamad jadi penghalang tetapi Tun kata sekarang dia sudah tidak jadi Perdana Menteri, buatlah.

''Itu soal pendirian mereka (Pas)... nampak sama tetapi tak sama (pendirian dengan UMNO), di Malaysia kita tidak boleh laksanakan kerana situasi dan keadaannya," katanya. - Utusan.

No comments:

Post a Comment