DATUK Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat akan diberikan penjelasan berhubung keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan digantikan dengan dua akta baru yang akan dibentangkan di Parlimen pada 3 Oktober ini.
Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan rakyat memahami dengan jelas pelaksanaan program transformasi kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya janjikan dua tahun lalu bahawa ISA akan dipinda... bukan kerana tuntutan pembangkang.... dan kini saya tunaikan janji dengan memansuhkan ISA dan diganti dua akta baru.
“Terperinci dan susulan (langkah) itu akan kita bentangkan supaya orang faham akan langkah yang diambil oleh kita,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Merdeka Raya anjuran Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, Khamis.
Pada majlis dihadiri kira-kira 10,000 tetamu, Anugerah Wira Bukit Kepong disampaikan kepada waris 16 pejuang yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950.
Najib berkata, semua pihak tidak perlu takut dengan perubahan kerana kepemimpinan UMNO, Perikatan dan BN adalah pemangkin dan ejen perubahan terbesar dalam sejarah negara.
Mengulas pengorbanan pasukan keselamatan termasuk dalam kejadian Bukit Kepong, Perdana Menteri berkata, jika pihak lain mengambil sikap menghina dan menidakkan pengorbanan mereka, UMNO dan BN akan terus membela maruah dan kebajikan mereka sebagai wira serta pejuang sejati nasionalis.
No comments:
Post a Comment