Berucap pada sambutan Aidilfiltri Merdeka Raya Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Kuala Lumpur, Khamis, Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN, berkata UMNO dan BN perlu memberi gambaran sebagai sa-satunya parti yang mendahului pembaharuan untuk negara dan bukannya pembangkang.
"Sebab itulah sebagai sebuah parti politik kita jangan takut untuk berada di barisan saf hadapan untuk menangani perubahan demi perubahan," katanya.
Beliau turut mengaitkan perubahan itu dengan keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang katanya bukan berdasarkan desakan pembangkang.
"Saya sudah janji dua tahun lalu bahawa ISA akan dipinda, bukan kerana permintaan pembangkang. Kini saya tunaikan janji dengan pemansuhan ISA yang akan digantikan dengan dua akta baru dan beberapa lagi langkah yang akan diambil," katanya.
Najib berkata, usaha pemulihan parti yang berjalan rancak sejak tiga tahun lalu dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, juga sudah sedikit sebanyak meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti itu.
"Rakyat mula yakin konsep 'Rakyat Didahulukan' bukanlah slogan semata-mata, sebaliknya sesuatu yang diperjuangkan parti dalam bentuk pelbagai dasar dan program yang dilaksanakan sepanjang masa tersebut.
"Keadaan ini juga kerana kita berada di hadapan kelok perubahan. Saya tekan perkara ini kerana kalau kita imbau kembali lipatan sejarah negara kita berjaya sebagai sebuah parti politik kerana hakikat sedemikian, kerana kita berjaya mengemudi perubahan kerana pendirian dan dasar kita yang mendahului zaman," katanya.
Najib berkata, perkara itu terbukti berdasarkan sejarah negara apabila kepimpinan negara memilih jalan permuafakatan antara kaum dan rundingan sebagai laluan untuk memperoleh kemerdekaan negara dan bukannya melalui pertumpahan darah.
"Semasa menuntut kemerdekaan, negara lain berhempas-pulas, terpaksa bertumpah darah menentang penjajah tetapi kita pilih jalan permuafakatan antara kaum dan rundingan untuk mencapai kemerdekaan, dan dengan menggunakan hikmah itu kita jaya mendapatkan kemerdekaan dengan cara yang jauh lebih mudah daripada negara lain.
"Kita mendahului zaman bila kita mewujudkan perkongsian politik antara kaum melalui parti Perikatan dan BN berjaya mentadbir negara dengan aman dan dapat mewujudkan kestabilan dalaman dengan begitu jaya," katanya.
Najib berkata, konsep pendekatan yang mendahului zaman itu juga boleh dilihat ketika negara berhadapan ancaman komunis dengan pendekatan memenangi hati dan fikiran rakyat.
"Kita berjaya mengalahkan ancaman komunis kerana kita berjaya memenangi hati dan fikiran rakyat kerana rakyat menyokong kita bukan semata-mata kerana kita menggunakan kuasa tentera tetapi kerana rakyat bersama kita," katanya.
Katanya, sokongan rakyat yang semakin meningkat itu juga dapat dilihat berdasarkan kehadiran orang ramai yang memberangsangkan dalam setiap majlis yang dianjurkan baik oleh kerajaan, UMNO mahupun BN.
"Saya tidak berani membuat kesimpulan tetapi barangkali orang kata sedikit sebanyak ini menggambarkan sokongan rakyat kian meningkat kepada UMNO dan BN," katanya.
Najib berkata, penganjuran majlis seumpama rumah terbuka dapat membuka pintu parti kepada segenap lapisan masyarakat, bukan sahaja penyokong parti tetapi juga kepada rakyat biasa.
"Sebagai sebuah parti politik, kita berdiri dan berpaksi atas sokongan rakyat.
"Bila kita adakan majlis seperti ini kita mengingatkan pada diri kita bahawa sokongan kita akan menjadi sokongan bermakna, akan berkekalan sekiranya ia bertunjangkan sokongan daripada rakyat teramai yang mana manifestasinya dapat dilihat melalui majlis-majlis seperti ini," katanya.
Najib juga menyentuh peristiwa serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong lebih 60 tahun lalu dan berkata UMNO akan terus menjadi pembela maruah mereka yang terkorban dalam insiden itu walaupun ada pihak lain yang menghina dan menidakkan jasa serta pengorbanan mereka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment