Oleh HELMI MOHD. FOAD dan
DATUK Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan janji-janji perubahan yang ingin dibawa oleh parti pembangkang sekiranya mereka dapat memenangi pilihan raya.
Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi telah berani melakukan perubahan dalam negara ini dengan melangkaui zaman.
“Kalau dikaji sejarah, kita tidak lari daripada prinsip yang mendahului zaman dan berani buat perubahan.
“Tidak perlu janji-janji perubahan kerana kita membawa perubahan dan kita laksanakan perubahan. Ini adalah pendekatan terbaik untuk rakyat dan bila kita berani berubah ia akan membuka minda dan membawa harapan baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Pemimpin Bersama Rakyat dan Jamuan Aidilfitri di pekarangan pasar raya Tesco Kuala Selangor, Khamis malam.
Majlis tersebut sempena perasmian Perhimpunan Dwitahunan Kelab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BNBBC) di negeri ini sejak semalam.
Seramai 149 ADUN BN dari seluruh negara menyertai perhimpunan itu dengan masing-masing ditempatkan di 73 pusat daerah mengundi melibatkan 20 kawasan Parlimen di Selangor.
Hadir sama Pengerusi Kelab BNBBC Malaysia, Datuk Mohd. Nadzri Ismail; Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohd. Satim Diman yang juga Pengerusi BNBBC Selangor; Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar serta para pemimpin parti komponen BN.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pembangkang cuba membawa platform perubahan melalui reformasi tetapi semua itu tidak ke mana.
“Banyak janji tidak ditunaikan dan tidak kurang juga pembohongan dan yang paling besar ialah pembohongan 16 September 2008 yang mengatakan pembangkang akan ambil alih pemerintahan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mahu semua wakil rakyat yang berkampung selama tiga hari di Selangor agar dapat membantu memberi pandangan apakah perkara yang perlu diberikan perhatian.
“Kalau boleh dapat selesai secara adil dan saksama seperti di Kuala Selangor ada kawasan ladang yang masih tiada bekalan air bersih sebab ladang adalah milik swasta.
“Saya tidak fikir ini wajar dikekalkan, mesti cari jalan dan BN mesti lakukan sesuatu untuk bantu golongan terdesak,” katanya.
Terdahulu, Najib mahu semua wakil rakyat BN memberikan satu persepsi baru bahawa mereka berjiwa rakyat dan mempunyai perasaan rendah diri.
“Bukannya mereka itu istimewa tetapi setaraf dengan rakyat dan pendekatan ini akan dapat memenangi hati dan fikiran rakyat.
“Kalau ini sikap pemimpin BN, maka kita akan dapat sokongan lebih bulat apabila sampai masanya,” katanya.
Selepas majlis itu, Najib mengadakan dialog tertutup dengan anggota BNBBC di Bangunan UMNO Kuala Selangor. - Utusan.
No comments:
Post a Comment