My Add

Friday 23 September 2011

Melaka lancar perang habis-habisan gempur pusat judi haram


Utusan Malasia melaporkan kerajaan negeri pada hari Khamis  mengambil keputusan melancarkan perang habis-habisan untuk menggempur premis dan pengusaha pusat judi berkomputer secara haram.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mengarahkan semua agensi terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis untuk melakukan operasi bersama membanteras kegiatan itu daripada terus merosakkan nama Melaka.

''Saya mahu pengusaha terbabit diambil tindakan undang-undang dan premis yang menjalankan kegiatan perjudian berkomputer itu disita serta seluruh peralatan mesti dirampas.

''Tindakan perlu diambil segera oleh agensi terlibat kerana saya tidak mahu melihat kegiatan perjudian ini terus berleluasa di negeri ini.

''Saya juga mahu TNB dan SAMB memotong bekalan air dan elektrik ke atas premis yang menjalankan kegiatan haram ini," katanya.


Beliau mengulas laporan akhbar Khamis, mengenai keresahan penduduk kerana pusat perjudian haram yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan beroperasi tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Pengusaha premis perjudian berkenaan pula semakin rakus mengaut keuntungan apabila kegiatan mereka berjaya menarik minat ramai pelanggan berpendapatan rendah, golongan belia, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Mohd. Ali menegaskan, sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan perlu dihalang dan jika tidak, sudah pasti generasi muda dan golongan belia akan hancur dan negara sendiri akan musnah.

Menurutnya, kerajaan negeri mengetahui mengenai kewujudan banyak pusat perjudian yang semakin berleluasa hasil daripada maklumat orang ramai.

''Pada mesyuarat Exco minggu lalu, saya telah arahkan PBT mengambil tindakan membuat serbuan dan menutup premis ini," ujarnya.

Beliau berkata, serbuan itu perlu dipertingkatkan lagi dengan penglibatan semua pihak untuk memastikan kewujudan pusat-pusat perjudian berkomputer itu dihapuskan terus daripada beroperasi.

Tanpa mahu menyalahkan mana-mana pihak beliau meminta, semua yang terlibat berganding bahu dan bekerjasama menggempur mana-mana premis yang menjalankan kegiatan judi berkomputer.

Saambil itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lyee memberi jaminan pihaknya akan bertindak memerangi habis-habisan pengusaha dan premis yang menjalankan kegiatan perjudian berkomputer secara haram di negeri ini.

Menurutnya, polis akan mengambil tindakan agresif melakukan operasi bersepadu membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras kegiatan tersebut daripada berleluasa.

"Operasi bersepadu kali ini tidak lagi dipikul oleh PBT semata-mata sebaliknya polis akan turut sama menggempur mana-mana premis yang didapati menjadi lokasi perjudian komputer secara haram.

"Saya telah meminta PBT yang mempunyai maklumat dan ingin membuat serbuan mesti memaklumkan perkara tersebut kepada polis agar serbuan dilakukan bersama," katanya di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang, Khamis.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia Khamis, mengenai keresahan sebahagian penduduk di negeri ini yang bimbang dengan kewujudan pusat-pusat perjudian haram yang tumbuh membiak tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Ghee Lyee dalam pada itu tidak menafikan antara 90 hingga 100 buah premis haram wujud di negeri ini dan menjalankan kegiatan judi berkomputer.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan bahawa polis tidak mengambil tindakan membanteras kegiatan tersebut.

"Polis membuat serbuan setiap minggu apabila mendapat maklumat mana-mana premis yang dikenal pasti dijadikan lokasi kegiatan perjudian berkomputer," tegasnya.

Menurutnya, berdasarkan statistik daripada 25 Julai hingga 17 September lalu, polis telah melakukan 43 serbuan.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 83 orang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan perjudian berkomputer.

"Dalam beberapa serbuan yang dilakukan, polis bekerjasama dengan PBT dan tidak timbul hanya PBT menjalankan operasi membanteras kegiatan itu," ujarnya.

Mengulas mengenai operasi polis bersama PBT yang seringkali gagal apabila pengusaha premis menutup operasi sewaktu serbuan hendak dilakukan, beliau berkata, pengusaha terbabit menyedari kehadiran pihak berkuasa menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran premis terbabit.

Katanya, pemilik premis semakin bijak mengelak daripada diserbu dengan memasang CCTV.

No comments:

Post a Comment