My Add

Tuesday 10 April 2012

Ahmad Said mahu tindakan terhadap yang liat bayar nafkah

KUALA TERENGGANU, SELASA, 10 April, 2012: Bapa atau bekas suami yang gagal melunaskan nafkah terhadap anak dan bekas isteri mereka sebagaimana yang diperintahkan mahkamah, perlu dikenakan tindakan tegas. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata langkah ini bagi memastikan golongan tersebut tidak mempermainkan perintah mahkamah, sekali gus mengabaikan tanggungjawab terhadap anak dan bekas isteri apabila berlaku perceraian.

"Si bapa ini perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak, ada yang sengaja tak mahu bayar nafkah kerana marahkan bekas isteri. Mereka abaikan nafkah anak-anak sebagaimana diperintahkan mahkamah.

"Bapa seperti ini patut dikenakan tindakan, kalau tak bayar juga (nafkah) mahkamah boleh ambil tindakan, denda atau penjarakan mereka kerana telah menghina mahkamah," katanya selepas melancarkan pengurusan fail dalam talian dan menyampaikan Dana Pendahuluan Nafkah Akaun Amanah Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu hari ini. 

Turut hadir Ketua Hakim Syarie Terengganu Datuk Ismail Yahya. 

Pada majlis itu, seramai 17 ibu tunggal menerima Dana Pendahuluan Nafkah dari Akaun Amanah BSK Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu bagi menampung perbelanjaan harian mereka. 

Setiap ibu tunggal menerima antara RM1,800 hingga RM6,000 iaitu tunggakan pembayaran nafkah selama enam bulan, bergantung kepada bilangan tanggungan masing-masing, yang keseluruhannya berjumlah RM41,000. 

Ahmad berkata, dana itu berbentuk modal pusingan bagi tunggakan nafkah dan ia perlu dibayar balik oleh bapa atau bekas suami. 

"Dana ini bukan bermaksud meringankan beban tanggungjawab si bapa atau suami dalam urusan pembayaran nafkah, sebaliknya kerajaan negeri ingin memastikan bahawa semua keperluan anak-anak dan bekas isteri ditunaikan. 

"Dalam masa yang sama, bapa atau suami yang ingkar atau cuai dalam melaksanakan perintah mahkamah dalam soal pembayaran nafkah ini, diambil tindakan undang-undang," katanya. 

BSK di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu mula beroperasi pada April 2009 dengan dana keseluruhan RM700,000. 

Sehingga Disember tahun lalu, seramai 21 orang menerima Dana Pendahuluan Nafkah di Terengganu, yang berjumlah RM30,380. 

Kes membabitkan pembayaran nafkah dipantau pegawai BSK secara dalam talian melalui sistem e-Nafkah yang menyalurkan maklumat kes berkaitan perceraian daripada Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah atau e-Syariah. 

Sementara itu, Ahmad berkata usaha melaksanakan pengurusan fail dalam talian oleh jabatan berkenaan adalah antara tranformasi dan inovasi yang mampu mempertingkat mutu perkhidmatan dalam sistem penyampaian kepada orang ramai. 

"Apa yang dilaksanakan jabatan ini seiring dengan perkembangan teknologi maklumat, dan ia memudahkan segala urusan tanpa membabitkan birokrasi yang rumit," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment