My Add

Thursday 5 April 2012

Bersih anjur protes 'Duduk Bantah' 28 April

SHAH ALAM, RABU, 04 April, 2012: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan mengadakan perhimpunan 'Duduk Bantah' pada 28 April ini sebagai tanda protes terhadap sistem pilihan raya - keputusan diumumkan sehari selepas Dewan Rakyat meluluskan laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Gabungan itu menamakan protes itu sebagai Bersih 3.0 - susulan kepada perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu.

"Bersih 2.0 akan berkumpul – Duduk Bantah – secara aman di seluruh negara dan di seluruh dunia.

"Ini bertujuan untuk menyatakan ketidakpuasan hati kami terhadap kerajaan yang terus menerus memanipulasi sistem pilihan raya untuk memastikan kemenangan parti yang memerintah," kata kenyataan media Bersih 2.0 dikeluarkan pagi ini.

Protes Duduk Bantah ini akan diadakan di Dataran Merdeka mulai jam 2 hingga 4 petang.

PSC Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dibentuk susulan perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung 7 Julai lalu.

Laporan PSC setebal 79 muka surat diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam tanpa dibahas selepas kekecohan dan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) bertindak keluar.

Dalam kenyataannya hari ini, Bersih 2.0 berkata ada beberapa perkara dalam laporan PSC yang dianggap baik dan sesuai.

"Tetapi, banyak juga yang kami anggap tidak mencapai tahap yang kami harapkan. Kami berharap PSC akan menjadi satu badan yang tegas untuk memastikan pilihan raya yang akan datang ini bebas dan adil.

"Banyak cadangan yang telah diajukan PSC dan juga lapan tuntutan Bersih 2.0 boleh diguna pakai sebelum PRU13," kata kenyataan itu.

Kenyataan Bersih 2.0 juga berkata kesemua cadangan diutarakan pihaknya wajib ditunaikan.

"Sikap berdiam diri kerajaan dan tanpa janji serta komitmen kerajaan untuk menunaikan semua tuntutan ini sebelum PRU13 cukup membingarkan telinga," katanya lagi.

Menurut kenyataan itu, PSC dan juga kerajaan telah tidak mengambil serius terhadap tuduhan-tuduhan penipuan.

"Warga Malaysia yang tinggal di luar negera juga telah dinafikan hak mengundi. Dan, termasuk pelbagai hal penyelewengan yang telah ditimbulkan oleh warga negara kepada PSC," kata kenyataan itu lagi.

Ia mendakwa kes-kes penipuan yang terus berlaku, seperti yang telah dijelaskan membuktikan bahawa kerajaan tidak bercita-cita untuk mengadakan pilihan raya ini dengan bersih dan adil.

"Semua ini meyakinkan kami bahawa pilihan raya kali ini akan menjadi yang paling kotor. Suruhanjaya Pilihan Raya telah gagal mendapat keyakinan rakyat. Dengan ini, Bersih 2.0 menuntut ahli-ahli suruhanjaya meletakkan jawatan.

"Rakyat akan terus menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap SPR. Rakyat juga akan terus meyuarakan bantahan mereka terhadap penipuan yang berterusan. Rakyat juga membantah kerana tidak ada komitmen untuk menambah baik sistem pilihan raya sebelum PRU13," kata kenyataan itu lagi. - SINAAR HARIAN

No comments:

Post a Comment