My Add

Saturday, 21 April 2012

Ekspedisi Kembara Bumi Suci 2012 ke Mekah bermula

SHAH ALAM, SABTU, 21 April, 2012: Ekspedisi selama 63 hari dengan jarak perjalanan sejauh 20,596 kilometer dan melalui 11 negeri untuk sampai ke destinasi di Tanah Suci Mekah di Arab Saudi dilepaskan dari sini hari ini.

Ekspedisi itu melibatkan 20 peserta termasuk tiga wanita dengan menggunakan 12 motosikal berkuasa tinggi bersama dua kenderaan pacuan empat roda (4X4), kata Ketua ekspedisi, Azman Baharuddin.

Katanya, beliau bangga kerana kembara untuk menunaikan umrah tersebut merupakan ekspedisi laluan darat terbesar ke Mekah dari Malaysia.

“Pada 2010, Ekspedisi Kembara Bumi Suci yang pertama hanya disertai 15 peserta yang mengambil masa pengembaraan selama 52 hari dan sejauh 17,800km,” jelasnya ketika ditemui sebelum majlis pelepasan di sini pagi ini.

Para peserta telah dilepaskan oleh Presiden Superbikers Malaysia (SAM), Datuk Abdul Halim Sulieman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa di Johor.

Azman berkata, laluan penuh cabaran termasuk “off-road”, tahun ini melibatkan negara seperti Thailand, Laos, China, Rusia, Kazakhstan, Azerbaijan, Georgia, Turki, Syria dan Jordan sebelum sampai ke Arab Saudi.

“Apabila tiba, para peserta akan menunaikan ibadat umrah selama lima hari, yang merupakan matlamat utama ekspedisi ini,” tegas beliau, yang turut mengetuai kembara pertama. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment