My Add

Tuesday, 3 April 2012

Gapena tetap berjuang memartabatkan sastera

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 April, 2012: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) akan tetap berjuang untuk memartabatkan sastera sekalipun cadangannya agar subjek itu diajar sebagai satu mata pelajaran wajib di sekolah ditolak oleh Kementerian Pelajaran.

Ketua Satu Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, Gapena akan terus memberi cadangan secara saintifik dan ilmiah kepada kerajaan mengenai kewajaran syor itu yang bertujuan melahirkan modal insan dan rakyat yang memiliki budi bahasa, kesantunan dan nilai-nilai murni tinggi.

"Jika sains dan matematik boleh diwajibkan pengajarannya dalam Bahasa Inggeris dalam tempoh yang begitu singkat, mengapakah tidak sastera juga mendapat pengiktirafan yang sama dan dilihat dari sudut yang positif?

"Kita faham subjek wajib yang ada dalam sistem pendidikan sekolah kita terlampau banyak tetapi sekurang-kurangnya pihak berwajib harus kaji dan lihat dahulu cadangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam program “Dalam Radar” terbitan Bernama Radio24 ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi semalam bahawa pembelajaran sastera sebagai subjek elektif di sekolah sudah mencukupi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment