My Add

Monday 2 April 2012

Inisiatif tingkat pengangkutan awam tunjuk perubahan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 April, 2012: Usaha mempertingkatkan pengangkutan awam bandar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menunjukkan perubahan ketara dalam memperbaiki keseluruhan kualiti bagi memastikan aspirasi pengangkutan awam menjadi pilihan utama pengguna bandar dan kekal menggunakan perkhidmatan itu.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2011 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan memperkenalkan 11 inisiatif yang terbahagi kepada empat kategori utama - bas, rel, integrasi dan rangkaian berjaya menghasilkan keputusan yang diharapkan.

"Pasukan NKRA menghadapi banyak halangan dalam mencapai sasarannya, tetapi pasukan itu terus bekerja keras untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan dan supaya lebih ramai menggunakan pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menurut laporan itu, penggunaan 470 bas RapidKL pada 2011 telah meningkatkan kekerapan bas di sekitar Lembah Klang, iaitu meningkatkan jumlah penumpang kepada 4.04 juta orang menggunakan perkhidmatan bas RapidKL berbanding tahun sebelumnya.

Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tiket Bas Baru (NBTS) RapidKL pada Februari 2011, secara drastik berjaya memotong separuh masa beratur penumpang, selain memanfaatkan platform Touch ”n Go, NBTS menggunakan kad tunggal untuk pembayaran.

Berdasarkan pencapaian laluan Bus Ekspressway Transit (BET) yang diperkenalkan pada 2010, Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menambah tiga laluan baru dan satu laluan percubaan. Laluan tambahan itu ialah Bukit Beruntung-Pasar Seni, Sri Nilam, Ampang-KLCC dan Semenyih Sentral-Pasar Seni.

Laporan itu berkata laluan BET menawarkan manfaat purata, 30-40 minit penjimatan masa perjalanan, mengurangkan volum trafik di laluan terpilih dan mengurangkan kesesakan di kawasan Daerah Perniagaan Pusat (CDB) dengan bergantung kepada laluan alternatif. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment