KUALA LUMPUR, AHAD, 22 April, 2012: MIC akan membawa isu berkaitan kaum India yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-13 bagi mengelakkan ia dieksploitasi pembangkang.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, berkata beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan dengan terperinci mengenai isu-isu yang perlu diselesaikan.
Antaranya ialah mengenai dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan, peluang pekerjaan untuk kaum India di sektor kerajaan dan pembangunan serta kebajikan membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), katanya.
"Jika ia tidak diselesaikan segera, ia akan menjadi isu politik oleh pembangkang sehingga menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak melakukan banyak pembangunan dan bantuan kepada kaum India namun hakikatnya ia tidak benar sama sekali," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri seminar mengenai Strategi dan Koordinasi Menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 anjuran Pemuda MIC yang berlangsung di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pemuda MIC T. Mohan.
Subramaniam dalam pada itu mengkritik media tertentu yang gemar menyiarkan berita-berita mengenai pembangkang dan gerakan anti kerajaan hingga dijadikannya berita utama berbanding berita membabitkan pembangunan dan bantuan kerajaan yang disiarkan secara ringkas dan pendek sahaja.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan media yang dimaksudkan.
Subramaniam berkata Pemuda MIC memainkan peranan besar dalam memperkasakan penyebaran informasi dengan menggunakan pelbagai saluran seperti kempen bertemu masyarakat, ceramah, media dan sebagainya kepada masyarakat India dalam usaha memastikan BN menang dalam pilihan raya umum kelak.
Mengenai gaji minimum di sektor swasta, Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata Perdana Menteri akan mengumumkan mengenainya dalam masa terdekat. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment