My Add

Friday 6 April 2012

Tanah rizab tak diguna boleh diberi hak milik, syarat tertentu

IPOH, JUMAAT, 06 April, 2012: Tanah berstatus rizab yang tidak lagi digunakan boleh diberi hak milik di bawah Lesen Menduduki Sementara (TOL) selama 10 tahun kepada penduduk yang sudah lama mendiami tanah itu mengikut Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata bagaimanapun pemberian hak milik di bawah Seksyen 67 (1) dan 67 (3) Kanun Tanah Negara itu tertakluk kepada beberapa syarat.

"Namun kelulusan pula adalah tertakluk kepada kerajaan Persekutuan jika tanah itu milik agensi Persekutuan dan memerlukan persetujuan agensi berkenaan," katanya menjawab soalan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Kubu Gajah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemberian hak milik tanah rizab kepada penduduk juga memerlukan persetujuan agensi yang memiliki tanah itu seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Keretapi Tanah Melayu. 

Kerajaan negeri boleh membatalkan status tanah rizab yang tidak digunakan dan ditukar kepada penempatan dengan menggunapakai peraturan, Pekeliling dan undang-undang, katanya. 

"Bagaimanapun kita perlu meneliti pula sama ada benar atau tidak tanah rizab itu tidak diperlukan. Ini kerana tanah rizab yang diperlukan oleh JPS dan JKR pada masa hadapan," katanya. 

Ramly berkata, antara keperluan agensi berkenaan ialah bagi mewujudkan zon penampan untuk mengelak kemalangan dan untuk jajaran sungai atau pembinaan jalan raya pada masa hadapan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment