My Add

Thursday 12 April 2012

Trauma tsunami: Penduduk Kuala Muda pindah tanpa arahan

Di Pulau Pinang penduduk jalani aktiviti harian seperti 
biasa, tapi ramai nelayan di kedah tak beranin turun ke laut 

SUNGAI PETANI, KHAMIS, 12 April, 2012: Trauma dengan kejadian tsunami lapan tahun lalu menyebabkan penduduk di Kota Kuala Muda dekat sini mengambil keputusan sendiri untuk berpindah selepas merasai gegaran yang kuat petang semalam walaupun tiada arahan berbuat demikian oleh pihak berkuasa. 

Kesan gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter di pesisir Sumatera petang semalam, lebih 500 orang dari beberapa kampung di Kota Kuala Muda nekad berpindah.

Antara kampung yang berisiko tinggi terhadap ancaman tsunami di Kota Kuala Muda ialah Kampung Kuala Tepi Sungai, Kampung Kepala Jalan, Kampung Padang Salim, Kampung Keda dan Kampung Hujong Matang.

Tinjauan mendapati keadaan di sekitar Kota Kuala Muda malam tadi terkawal dan penduduk berpindah beramai-ramai ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda iaitu kira-kira 2.5 kilometer dari kawasan pantai. 

Walaupun nasihat tsunami ditarik balik di Malaysia pada 10 malam oleh Jabatan Mateorologi Malaysia, penduduk tetap tidak mahu pulang ke rumah masing-masing kerana tidak yakin terhadap perkara itu. 

Seorang penduduk Kampung Kepala Jalan, Hasnah Shuib, 56, berkata dia merasai gegaran kuat itu pada 4.30 petang dan bertindak lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. 

"Kami lari keluar bawa baju dan barangan serta dokumen penting sahaja sebab apa yang penting adalah untuk selamatkan diri. Itu pun selepas kami keluar rumah gegaran kedua berlaku sekali lagi pada 6.30 petang," katanya ketika ditemui di Kota Kuala Muda dekat sini malam tadi.

Hasnah berkata, dia bersama ahli keluarganya itu berpindah keluar tanpa arahan daripada pihak berkuasa kerana masih mengingati dan terbayang-bayang sejarah hitam tsunami lalu. 

Ketika kejadian tsunami 2004, kawasan Kuala Muda adalah antara kawasan paling teruk menerima kesan tsunami itu dan lapan penduduk kawasan itu maut. 

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Kuala Tepi, Sungai Ismail Osman, 57, berkata peristiwa hitam 26 Disember 2004 itu masih menghantui dan berlegar-legar di fikiran mereka sehingga merasakan ingin lari sejauh yang mungkin. 

 Di GEORGETOWN: Orang ramai di Pulau Pinang ini menjalankan kegiatan harian seperti biasa termasuk menjalankan aktiviti di tepi pantai di sini. 

Tinjauan mendapati premis makanan di sepanjang pantai Batu Feringghi, Tanjung Bungah dan Padang Kota Lama beroperasi seperti biasa dan pengunjung kelihatan membanjiri kawasan pantai dengan melupakan amaran tsunami semalam berikutan gempa bumi 8.7 magnitud di pesisir Sumatera Utara, Indonesia petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat, berkata anggotanya bagaimanapun diarahkan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

"Kita sudah berhenti membuat rondaan pada 10.30 malam tadi selepas Jabatan Mateorologi Malaysia menarik balik amaran tsunami namun kita masih dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Beliau berkata, jabatan itu menerima lebih 40 panggilan bermula 4.50 petang hingga 10.30 malam daripada orang ramai berhubung kejadian gegaran itu termasuk aduan keretakan bangunan di Taman Ampang Jajar Butterwoth. 

"Kita sudah melaporkan perkara itu kepada polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk siasatan lanjut kerana kita tidak pasti adakah keretakan itu berlaku disebabkan gegaran atau retakan lama," katanya. 

Semalam dua gegaran dirasai sekitar Georgetown, Balik Pulau, Bayan Lepas, Batu Feringghi, Teluk Bahang, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Nibong Tebal.

Keadaan trafik pada waktu itu dilaporkan sesak kerana orang ramai berpusu-pusu keluar dari pulau dan pengunjung pusat beli belah seperti KOMTAR, Prangin Mall dan 1st Avenue bertindak mengosongkan premis apabila merasai gegaran selama lima minit itu.

Di ALOR SETAR: Keadaan jeti Seberang Kota dan Tandop di sini hari ini lengang kerana ramai nelayan tidak turun ke laut berikutan gempa bumi yang menggegarkan Aceh semalam. 

Seorang nelayan di jeti Seberang Kota, Mohd Azhar Ahmad, 27, berkata beliau tidak turun ke laut semalam kerana bimbang berlakunya tsunami tetapi kembali menangkap ikan hari ini kerana terpaksa bagi mendapatkan sumber pendapatan.

Katanya, sepanjang empat jam menangkap ikan hari ini, keadaan laut tenang dan tidak bergelora tetapi tidak ramai nelayan yang turun ke laut.
"Namun hasil tangkapan tidak begitu banyak. Saya hanya mendapat ikan kembung kira-kira 15 kilogram sahaja. 

"Sepanjang saya berada di laut pagi tadi, kira-kira 10 bot nelayan sahaja yang keluar. Mungkin yang lain masih risau," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Romalah Hanapiah, 54, yang berniaga ikan di Tandop Kubang Rotan, berkata bekalan ikan untuk hari ini sangat sedikit iaitu 10 kilogram (kg) berbanding 200kg hingga 300kg pada hari-hari biasa. 

Penyelia jeti Seberang Kota, Ahmad Hashim, 63, berkata selalunya jeti itu dibuka sehingga 1 tengah hari tetapi hari ini banyak gerai ikan tutup awal kerana hasil tangkapan tidak banyak.

"Mungkin petang ini nelayan akan ke laut seperti biasa memandang keadaan cuaca juga semakin baik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment