My Add

Friday 13 April 2012

Umat Islam perlu dukung institusi Raja Berperlembagaan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 APRIL, 2012: Umat Islam di negara ini diminta mendukung dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan bagi memastikan syiar Islam terus berkembang dan umat Islam dilindungi daripada sebarang bentuk pencerobohan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Yang di-Pertuan Agong sebagai paksi institusi itu akan terus memastikan perpaduan ummah tidak ternoda dan kesucian agama Islam terus terjaga.

"Mimbar menyeru umat Islam sekalian mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai perkara-perkara termaktub dalam perlembagaan termasuklah kesucian Agama Islam sebagai Agama Rasmi Negara.

"Jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalat pihak lain, akhirnya umat Islam akan menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri," katanya di Masjid Negara di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat khas bertajuk "Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tonggak Perpaduan Ummah" sempena pertabalan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 kelmarin. 

Tuanku Abdul Halim turut berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Khutbah Jumaat yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu turut dibacakan di masjid seluruh negara.

Jamil Khir berkata, sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sejak merdeka lagi, adalah lambang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. 

"Negara kita begitu unik dengan berlatar belakang penduduk berbilang kaum dan agama, justeru proses perpaduan ini telah memberi impak besar kepada pembentukan masyarakat yang bersatu padu di negara ini. 

"Mimbar percaya proses mengurus krisis dan pertelagahan dalam masyarakat berlangsung dengan pantas lagi tersusun ini adalah berdasarkan kekebalan dan kebijaksanaan pemerintahan Raja-Raja Melayu," katanya. 

Jamil Khir berkata, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu usaha berterusan dalam mengekalkan identiti sebuah kerajaan Melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa. 

Beliau berkata institusi itu adalah sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia. 

Katanya, pemilihan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong yang juga Ketua Negara dan Ketua Agama Islam, menuntut kepada penyempurnaan tanggjungjawab yang besar. 

"Ini terkandung dalam lafaz sumpah jawatan Baginda iaitu 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi' yang dirungkaikan dalam lima kata kunci iaitu undang-undang, perlembagaan negeri, agama Islam, adil dan aman. 

"Sebagai Ketua Negara, Baginda hendaklah melaksanakan pemerintahan dengan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa memandang latar belakang atau status seseorang," katanya. 

Beliau turut meminta kepada rakyat di negara ini mendoakan agar Tuanku Abdul Halim dikurniakan taufik dan hidayah serta kekuatan dalam meneruskan pemerintahan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment