My Add

Thursday 5 April 2012

Video murtad: NGO khuatir cetus salah faham, harap tidak disensasi

Oleh NURULFATIHA MUAH

SHAH ALAM, RABU, 04 April, 2012: Tindakan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mendedahkan rakaman video berhubung kes murtad kepada umum didakwa boleh menimbulkan salah sangka yang dikhuatiri menjejaskan hubungan masyarakat kelak.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan berkata, pendedahan yang dibuat Hasan Isnin lalu itu, akan meresahkan ramai pihak sehingga boleh mewujudkan ancaman kerana menyalahtafsirkan video berkenaan.

“Saya berpendapat, umat Islam menyedari ancaman murtad ini, tetapi apabila ia diperbesar-besarkan, ia akan menimbulkan salah faham kerana setiap manusia mungkin berbeza tafsirannya.

“Sepatutnya, perkara seperti ini patut disuarakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu supaya tindakan lanjut boleh diambil. Bagaimanapun, saya percaya apa yang didedahkan Hasan itu bukan satu pembohongan dan kita perlu ambil tindakan proaktif bagi mengekang isu ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong atau tidak pendedahan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu kepada media, sebelum membawa perkara tersebut kepada pihak berkuasa agama.

Mengulas perkara sama, Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, beliau secara peribadi berpendapat, pendedahan itu disifatkan mempunyai kaitan dengan politik memandangkan ia diselitkan unsur sensasi.

“Masyarakat gempar dengan pendedahan itu kerana ada unsur sensasi yang boleh menjejaskan pemahaman orang awam, sekali gus menimbulkan ketegangan. Ia mungkin boleh mewujudkan tuduhan lain kepada orang yang tidak bersalah.

“Apa yang penting, bagaimana kita hendak selesaikannya bukan mensensasikannya. Maklumat itu sepatutnya perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada pihak yang berkuasa untuk ditangani dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Muhammad Fitri Abdullah enggan mengulas mengenai pendedahan yang dibuat Presiden Jalur Tiga (Jati) itu, sebaliknya beliau melahirkan kebimbangan untuk berdakwah kepada golongan bukan Islam pada masa akan datang.

“Perkim adalah salah sebuah badan dakwah yang menyampaikan risalah Islam kepada mereka yang bukan Islam. Adakah ia (pendedahan itu) akan menguntungkan atau merugikan Islam. Ia seolah-olah mempunyai provokasi kerana bukan semua Kristian itu tidak baik, sama juga seperti orang Islam yang bukan semua baik.

“Secara peribadi, daripada pendedahan yang dibuat, ia melibatkan orang yang bercakap, mungkin sesiapa boleh bercakap demikian. Bagaimanapun, boleh jadi juga cara mereka (orang yang membaptiskan orang Islam) dapat dihidu dan ini akan menyebabkan mereka mengubah taktik,” katanya.

Isnin lalu, Hasan membuat pendedahan bukti dua video melibatkan orang Islam yang pernah keluar dari agama itu bagi membuktikan dakwaan beliau kewujudan gejala murtad di negara ini.

Video itu masing-masing berdurasi 16 minit dan 42 minit manakala video satu jam setengah yang belum disunting hanya akan ditayangkan kepada pihak berkuasa agama. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment